Wanita Muda Didakwa Bunuh Suami Guna Pisau Potong Sayur


MUAR - Seorang wanita muda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya menggunakan pisau pemotong sayur pada dua minggu lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun 11 bulan yang memakai baju lokap oren dan berseluar hitam mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.

Bagaimanapun tiada pengakuan tertuduh direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh suaminya, Mohd. Firdaus Md Sallehuddin, 28, di sebuah rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini kira-kira pukul 1.30 petang pada 14 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mahkamah kemudian memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk pemeriksaan kesihatan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah dan menetapkan sebutan semula kes serta serahan laporan kesihatan pada 23 November depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita muda ditahan polis selepas bertindak menikam suaminya dengan pisau pemotong sayur di sebuah rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong dekat sini pada 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, polis tidak menolak kemungkinan tragedi itu berpunca daripada perasaan cemburu dan syak wasangka tertuduh selepas mangsa tidak pulang ke rumah selama beberapa hari.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com