Wanita Dibenarkan Memandu, Jualan Kereta Arab Saudi Dijangka Naik


JEDDAH - Jualan kereta di negara ini dijangka meningkat sebanyak 50 peratus selepas kerajaan membenarkan golongan wanita memandu kereta namun pada masa yang sama akan mengurangkan permintaan terhadap perkhidmatan teksi.

Portal Arab News melaporkan, bank-bank tempatan menjangkakan peningkatan besar terhadap pembiayaan pembelian kereta dan peningkatan jualan kenderaan.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Kesedaran Perbankan dan Media Kumpulan Bank Arab Saudi, Talat Hafiz berkata, pihaknya te­lah bersiap sedia untuk memberi pinjaman terus kepada golongan wanita yang berkelayakan.

“Jualan kereta di Arab Saudi setiap tahun mencecah sebanyak 600,000 buah namun jumlah ini akan meningkat tidak lama lagi dan memberi kesan positif kepada ekonomi negara,” katanya.

Pada 26 September lalu, media Arab Saudi melaporkan tentang perintah Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud yang membenarkan golongan wanita memandu kereta berkuat kuasa Jun tahun depan.

Sementara itu, kata Talat, permintaan terhadap perkhidmatan teksi mungkin menurun namun langkah yang dikuatkuasakan kerajaan itu dapat menjimatkan kewangan keluarga golongan wanita terbabit.

“Salah satu masalah besar yang dihadapi oleh golongan wanita di negara ini ialah pengangkutan kerana mereka menghabiskan banyak wang untuk menyewa teksi tetapi dengan peraturan baharu ini mereka boleh berjimat,” katanya.

Dalam pada itu, pihak polis di timur Jeddah menahan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingku­ngan 20-an yang mengugut pemandu wanita melalui media sosial.

Pendakwa Raya Awam, Sheikh Saud Abdullah Al-Muajab me­ngarahkan penahanan lelaki itu selepas rakaman videonya yang mengugut untuk membakar mana-mana kereta milik wanita yang dilihatnya di jalan raya, tersebar.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com