Wanita Di Kedah Juga Mampu Menggegarkan Dunia


ALOR SETAR - Golongan wanita di negeri Kedah amat diyakini mampu memberikan sumbangan tidak ternilai kepada masyarakat sama ada di peringkat negeri, nasional mahupun merentas benua ke persada antarabangsa.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, sejarah membuktikan bahawa wanita berkemampuan untuk mencipta kejayaan hebat dan penjadi "insan istimewa" di sebalik setiap kejayaan yang dilakar.

"Sejarah membuktikan bahawa wanita yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia. Malah, kejayaan seorang lelaki juga di sebaliknya terdapat paling kurang mesti ada seorang wanita.

"Ummul Mukminin seperti Saidatina Siti Khadijah dan Siti A'isyah misalnya menjadi tulang belakang kepada perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan agama Allah," katanya kepada Kedahnews.com ketika ditemui di sini, hari ini.


Suraya turut menamakan nama-nama srikandi Islam lain seperti puteri Rasulullah SAW, Saidatina Fatimah Az-Zahra dan tokoh muslimah zaman silam, Rabi'atul Adawiyah, yang turut menyumbang kepada asas peradaban ketamadunan Islam dunia.

Kata beliau, wanita di zaman moden ini juga telah membuktikan diri mampu menyumbang kepada pelbagai bidang seperti pendidikan, akademik, perubatan, pembangunan keluarga, pertahanan negara dan sebagainya.

Suraya yakin, dengan dorongan dan pengiktirafan yang sesuai diberikan kepada golongan hawa di negeri ini, wanita-wanita Kedah mampu mencipta kejayaan dan menempa nama sebagai tokoh wanita yang hebat di Malaysia.

"Kita yakin kaum wanita di Kedah juga tidak kurang hebat dan kemampuannya. Nama-nama seperti Dato' Zakiah Hanum, Dato' Prof Emeritus Dr. Asmah Omar, Dato' Prof. Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Dato' Prof Dr. Siti Hawa Salleh dan ramai lagi.

"Mungkin ramai yang kurang peduli dengan nama-nama hebat ini, namun mereka adalah anak-anak Kedah yang meniti kejayaan dan membuktikan kemampuan wanita Kedah," ujar beliau.


Dato' Zakiah Hanum yang merupakan wanita pertama dilantik sebagai wanita pertama negara menerima anugerah berprestiej "Ramon Magsasay" dan yang pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Arkib Negara.

Manakala Dato' Prof Emeritus Dr. Asmah Omar, Dato' Prof. Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Dato' Prof Dr. Siti Hawa Salleh pula merupakn tokoh-tokoh wanita kelahiran Kedah yang berjaya mencipta nama dalam bidang akademik di negara ini.

"Asasnya, wanita itu merupakan tulang belakang sebuah keluarga. Seorang wanita menjadi pembantu setia kepada suami, pendidik kepada anak-anak, menguruskan rumahtangga dan sebagainya.

"Kasih sayang seorang wanita itu menjadi resipi utama di sebalik kejayaan sama ada kepada dirinya sendiri, suami mahupun anak-anak. Bagi saya, merekalah wirawati yang tidak didendang," katanya mengiktiraf pengorbanan dan peranan besar wanita.

Suraya berkata demikian ketika ditemubual Kedahnews.com bersempena Hari Wanita peringkat Negeri Kedah yang berlangsung esok di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di UTC, bermula 8 pagi hingga 7 petang.

Sambutan Hari Wanita yang bertemakan "Wanita Pengubah Ekonomi Global"  itu akan diteruskan dengan Malam Anuegerah Wanita Cemerlang di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, yang bakal disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Esok di sebelah siang, akan berlangsung Fiesta Usahawan Wanita di Dewan MBAS dan malamnya pula kita beri pengiktirafan Anuegerah Wanita Cemerlang kepada tokoh-tokoh wanita Kedah di Dewan Seri Negeri, insyaAllah," ujarnya.


Suraya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com