Wanita Di Kedah Jangan Pandang Remeh Risiko Perkahwinan Rentas Sempadan


TIDAK dinafikan bahawa sempadan Kedah - Thailand di Bukit Kayu Hitam merupakan antara pintu keluar masuk negara yang popular bagi sindiket perkahwinan rentas sempadan yang mengambil kesempatan terhadap pasangan yang ingin berkahwin tanpa restu.

Sama ada tidak mendapat keizinan isteri pertama untuk berpoligami, tidak mendapat restu keluarga atau berkahwin dengan warga Thai, ramai yang menggunakan cara ini untuk melunaskan hasrat masing-masing.

Biarpun nampak mudah pada awalnya, namun majoriti pasangan terbabit bakal berdepan masalah yang lebih rumit dan "menyakitkan" sehingga menyebabkan perkahwinan yang harapkan bahagia, namun goyah serta akhirnya bercerai terpisah.


Perkahwinan rentas sempadan didapati banyak memberikan kesan buruk kepada isteri dan anak yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya termasuk hilang hak dari sudut perundangan, status perkahwinan diragui, nafkah dan banyak lagi.

Sering kali masyarakat mendengar episod-episod pilu golongan wanita yang terbiar dan dizalimi suami yang dinikahi di "seberang" sana, namun begitu masih banyak lagi pasangan yang tidak endah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya sentiasa memandang serius terhadap isu perkahwinan rentas sempadan.

Menurut beliau, golongan wanita dilihat sering menjadi mangsa keadaan apabila diabaikan dan tidak mendapat pembelaan yang wajar terutama setelah ditinggal atau diceraikan suami.

"Kita memandang serius tentang perkara ini. Kita dapati ramai golongan isteri yang tidak terbela nasib mereka, termasuk anak-anak, terutama mereka yang ditinggalkan suami atau diceraikan suami.

"Memanglah nampak mudah berkahwin di sempadan. Tapi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dan perkahwinan itu tidak disahkan di negara kita, maka macam-macam masalah yang timbul kepada mereka.

"Bila perkahwinan itu tidak sah dari sudut perundangan negara, memang sukar sangat kita nak bantu," katanya mengulas mengenai isu perkahwinan rentas sempada ketika ditemui Kedahnews.com, di sini hari ini.

Justeru itu, Suraya menyeru kepada semua pihak khususnya golongan wanita yang terbabit dengan perkahwinan rentas sempadan supaya lebih mengambil berat tentang prosedur dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan hidup mereka terjamin.

"Jadi kita menyeru terutama kepada golongan wanita supaya lebih berhati-hati dan mengambil berat terhadap syarat dan prosedur perkahwinan rentas sempadan. Jangan pandang remeh perkara ini.

"Ikutlah garis panduan, isyaAllah dipermudahkan masa hapadan," seru Exco Kerajaan Negeri itu lagi.

Garis Panduan

Menurut informasi dari Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kedah (JPWK), pasangan yang memandang remeh terhadap risiko perkahwinan rentas sempadan mampu mengundang padah kepada mereka di kemudian hari.

Walau bagaimanapun, JPWK turut memberikan empat garis panduan bagi mereka yang terlibat dengan perkahwinan rentas sempadan untuk dipatuhi bagi mengelak kemungkinan yang tidak diingini daripada berlaku.

Pertamanya, pasangan yang ingin berkahwin di sana perlulah memastikan dokumen perjalanan mereka dicop bagi tujuan membuktikan perjalanan mereka merentas sempadan negara secara sah.

Kedua, pasangan terbabit perlu pastikan Majlis Agama atau pihak yang akan menikahkan mereka diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan tidak mudah dipengaruhi oleh agen-agen yang cuba mengambil kesempatan terhadap mereka.

Ketiga, dokumen perkahwinan mereka jura perlu mendapat pengesahan daripada Konsulat General Malaysia Songkhla dan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah.

Keempat, pasangan yang terlibat dengan perkahwinan rentas sempadan itu perlu memastikan bahawa permohonan mereka dibuat sekurang-kurangnya enam bukan daripada tarikh perkahwinan.

Setiap pasangan tersebut khususnya isteri diingatkan supaya menyimpan semua dokumen perkahwinan berkenaan dengan baik bagi tujuan rujukan dan mengelak daripada didenda oleh pihak berkuasa.

Difahamkan bahawa kegagalan mematuhi prosedur yang ditetapkan itu mungkin bakal mengakibatkan status taraf perkahwinan dianggap tidak sah dari sudut perundangan negara dan didenda sehingga maksimum sebanyak RM3,000. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com