USM Tidak Akan Kompromi Sindiket Ijazah Palsu


KUALA LUMPUR - Universiti Sains Malaysia (USM) tidak akan berkompromi dengan sindiket yang membekalkan ijazah palsu dan telah memperketatkan proses pengesahan pelbagai peringkat bagi menjamin keutuhan keyakinan kepada graduan daripada universiti berkenaan.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, USM sememangnya membantu pelbagai pihak untuk melakukan pengesahan dari semasa ke semasa yang disalurkan khususnya oleh bakal majikan.

"Semua ini akan diteliti pasukan penyemak daripada pelbagai bahagian bagi memastikan kesahihan dokumen yang dibekalkan.

"Selain itu, setiap ijazah dikeluarkan USM kepada graduannya, termasuk Ijazah Kehormat dilengkapi tidak kurang daripada 15 ciri keselamatan. Ciri-ciri keselamatan ini dirahsiakan daripada pengetahuan umum dan akan dikaji semula secara berkala bagi memastikan ia kekal relevan," katanya.

Beliau turut menegaskan USM turut memberikan penekanan kepada pemilihan pembekal bagi proses cetakan ijazah berkenaan.

Akhbar hari ini melaporkan, Pengarah Urusan Verity Intelligence Sdn Bhd, Mark Leow dipetik sebagai berkata selain Universiti Teknologi Mara dan Kolej Universiti SEGi, terdapat banyak lagi sijil pengajian institusi pengajian tinggi lain yang dipalsukan tetapi berjaya dikesan seperti Universiti Putra Malaysia, USM dan Universiti Taylor.

Asma seterusnya berkata pihak yang mempunyai sebarang keraguan dan kemusykilan berkenaan ijazah dikeluarkan atas nama USM boleh membuat semakan dengan menghubungi Penolong Pendaftar Kanan Seksyen Data dan Rekod, Bahagian Pengurusan Akademik, Mohd Jalaludin Azizan di talian 04-6533211/2924/3169 atau e-mel jalaludin@usm.my . - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com