Undi Melayu, Populariti: PAS Bidas Pedas Kenyataan Presiden PPBM


ALOR SETAR - PAS membidas kenyataan dangkal yang dikeluarkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kononnya undi orang Melayu akan beralih kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, beliau tidak menafikan tentang undi segelintir bangsa Melayu yang menyokong Pakatan Harapan, namun mereka dijangka tidak akan mampu mendapat majoriti undi dari bangsa bumiputera terbesar itu.

Jelas beliau, ia adalah disebabkan oleh penguasaan DAP yang dilihat mendominasi Pakatan Harapan dan menyebabkan majoriti undi orang Melayu di negara ini tidak mungkin memihak kepada gabungan parti pembangkang tersebut.

"Tsunami melayu akan berlaku tetapi tak semudah yang dia jangka untuk pergi kepada Pakatan Harapan sebab Pakatan Harapan didominasi DAP.

"Jadi tiada sebab pengundi Melayu hendak pergi kepada DAP," katanya, memetik kenyataan yang diberikan kepada sebuah portal berita.


Muhyddin sebelum ini mendabik dada membawa propaganda politik yang mendakwa kononnya "tsunami Melayu" akan melanda dan mereka akan menyokong Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti.

Selain itu, Nasruddin turut menyedarkan Muhyiddin dari angan-angan beliau dengan imaginasi "undi popular", sebaliknya sistem pilihan raya di negara ini lebih realistik berdasarkan kepada bilangan undi sah dan kerusi yang dimenangi.

"Di Malaysia kita tidak pakai sistem dimana parti yang miliki undi popular yang boleh memerintah, tapi kita kira bilangan kerusi.

"Siapa yang menang banyak kerusi (dia yang menang). Bukan bergantung kepada undi popular," ujar beliau, cuba menyedarkan keghairahan Muhyiddin itu.

Muhyiddin berkata demikian ketika berceramah di pentas politik yang turut menampilkan Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Presiden PAN, Mohamad Sabu yang kini menjadi sekutu kuat politiknya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com