Tukang Gunting Rambut Ini Ada 378 Kereta Mewah


NEW DELHI – Menjadi tukang gunting dianggap sebagai kerjaya yang tidak menghasilkan banyak wang, namun siapa sangka, ada menjadi jutawan dan mampu membeli ratusan kereta mewah.

Justeru kisah Ramesh Babu, seorang tukang gunting warga India yang berasal dari Bangalore, India mencetuskan sensasi dalam kalangan netizen apabila beliau dilaporkan hidup kaya dengan memiliki sebanyak 378 buah kereta.

Laman rushlane melaporkan antara koleksi kenderaan tersebut ialah Rolls Royce Ghost, BMW 7-series, Mercedes S Class, E Class, Viano, BMW 5 Series, Toyota Camrys, Honda Accords dan beberapa Honda CR-Vs.

Terbaharu, Babu membeli Mercedes Maybach S600 berharga 26.5 juta rupee (kira-kira RM1.7 juta) berenjin V12 dengan 6.0 liter yang juga  dilengkapi pelbagai fasiliti mewah serta kuasa 530 bhp dan torsion 830 Nm.

Kisah kejayaannya bermula ketika beliau berusia tujuh tahun setelah bapanya meninggal. Babu melakukan pelbagai kerja sehingga pada awal 1990-an beliau berjaya membuka tempat gunting rambut sendiri untuk menyara hidup.


Pada 1993, Babu membeli kereta pertamanya iaitu Suzuki Maruti Omni, hasil usaha wang tabungannya selama menjadi tukang gunting. Demi menambah pendapatan, beliau menyewakan kenderaan itu kepada masyarakat.

Tahun demi tahun, kegigihannya bekerja sama ada sebagai tukang gunting dan penyewa kereta terus berkembang maju sehingga Babu mampu membeli sebanyak enam buah kereta pada 2004 lalu sebelum menjadi jutawan.

Meskipun sudah bergelar hartawan dan selesa memiliki banyak kereta mewah, Babu tetap bertugas sebagai tukang gunting. Beliau cuma mengenakan caj 100 ruppee atau RM6 untuk setiap perkhidmatan gunting rambut gaya biasa.

Selebihnya datang daripada operasi kereta sewa yang beliau buat lebih dua dekad lalu termasuk penyewaan khusus kenderaan mewah dimilikinya. Sebagai contoh, Rolls-Royce disewa dengan harga 50,000 rupee (RM3,000) sehari.

Lebih hebat lagi, pelanggannya bukanlah sembarangan. Kebanyakan dari kalangan artis antaranya Salman Khan, Aishwarya Rai, Aamir Khan malah tokoh terkenal iaitu Raja Saudi, Salman Abdulaziz. 

Sumber – MYNEWSHUB.CC

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com