Trio Militan Tidak Pulang Selepas Misi Enam Hari


PETALING JAYA -Tiga rakyat Malaysia berlepas ke selatan Filipina dalam misi enam hari untuk mewujudkan rangkaian kumpulan militan IS pada 2014 dan tidak pulang selepas itu.

Dua daripada mereka, bekas kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Muham­mad Joraimee Awang Raimee atau Abu Nur dan bekas penjual buku di Universiti Malaya, Mohd Najib Husen atau Abu Anaz dilaporkan sudah meninggal dunia.

Ketua misi itu yang juga bekas profesor di UM, Dr Mahmud Ahmad masih lagi hidup.

Dia disifatkan sebagai pengganas paling dikehendaki susulan pengepungan oleh tentera Filipina di Bandar Marawi, Mindanao pada 23 Mei lalu.

Pada April 2014, ketiga-tiga mereka berlepas ke Mindanao untuk mengatur latihan ketenteraan dan cara pembuatan bom untuk militan warga Malaysia yang kemudiannya pergi ke Syria untuk menyertai IS.

Joraimee merupakan pemimpin rohani kumpulan yang diterajui Dr Mahmud yang berperanan menyebar ajaran militan dan mempengaruhi rakyat Malaysia berjuang di Syria.

Mereka merancang untuk kembali ke Kuala Lumpur selepas misi tersebut selesai.

Namun, mereka tidak pulang ke rumah masing-masing selepas mengetahui berada dalam senarai individu dikehendaki Bukit Aman.

Pada 27 Mei 2014, kontrak Joraimee bersama MPS ditamatkan kerana tidak datang bekerja.

Dia bertugas sebagai ketua bahagian jabatan pentadbiran di MPS sejak 18 April 2011.

Pada Julai 2014, wajah mereka menghiasi muka depan akhbar media tempatan selepas polis mengumumkan tiga individu itu antara lima suspek militan warga Malaysia yang ada kaitan dengan kumpulan IS dan Abu Sayyaf.

Dua yang lain merupakan ahli Darul Islam Sabah iaitu Mohd Amin Baco dan Jeknal Adil, kedua-duanya dari Tawau.

Kelima-lima mereka mempunyai hubungan rapat dengan pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara iaitu, Zukifli Hir atau Marwan yang maut dalam pertempuran di Mamasapano, Mindanao pada September 2015.

Dr Mahmud, Joraimee dan Mohd Najib dilaporkan telah berbaiah dengan Isnilon Hapilon yang juga pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf di Basilan.

Sumber perisikan menyifatkan Dr Mahmud dan Joraimee tidak dapat dipisahkan sambil menambah mereka bertemu dengan setiap kumpulan militan yang selari dengan ideologi bendera hitam IS di selatan Filipina.

Mereka mengatur perjalanan untuk militan warga Malaysia ke Syria selepas menjalani latihan di selatan Filipina.Malah mereka juga menggunakan Sabah sebagai pintu belakang atau keluar untuk militan.

Pada 15 Disember 2015, Mohd Najib yang pakar dalam membuat bom ditembak mati semasa pertempuran dengan tentera Filipina sebelum kumpulan Abu Sayyaf merancang untuk melancarkan serangan bom di sebuah pusat membeli-belah baharu di Zamboanga City.

Joraimee dan Dr Mahmud menyertai kumpulan Maute untuk menyerang Bandar Marawi.

Mereka juga merupakan pembantu utama Isnilon yang mengetuai serangan di Bandar Marawi bersama dengan kumpulan Maute.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com