Tiada Paksaan Pihak Sekolah Adakan Aktiviti Pada Hari Sukan Negara, Sabtu Depan


PADANG TERAP - Kementerian Pendidikan semalam menegaskan bahawa tiada paksaan bagi pihak sekolah mengadakan aktiviti kecergasan di sekolah masing-masing sempena sambutan Hari Sukan Negara yang jatuh pada hari cuti Sabtu, 14 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menyokong Kementerian Belia dan Sukan yang menetapkan sambutan hari berkenaan yang diadakan serentak di seluruh negara.

“Kebetulan pada waktu itu dalam masa cuti sekolah, jadi apa yang kita katakan bahawa program nak dibuat di seluruh negara pada kita di sekolah ia adalah program yang bukan paksaan tetapi kita galakkan kalau ada di rumah, di arena padang awam apa salahnya di sekolah.

“Kalau masa itu ada yang sudah ambil cuti, sudah tempat tiket untuk bercuti dan sebagainya, saya memahami keadaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kelab Waris Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) di Felcra Kubang Kenyeng, Naka dekat sini semalam.

Beliau mengulas tentang surat yang dikeluarkan kementerian kepada semua pengarah pendidikan negeri bertarikh 3 Oktober lalu, menyatakan sambutan Hari Sukan Negara akan diadakan pada 14 Oktober ini dan menggalakkan pelbagai aktiviti diadakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah.

Perkara itu bagaimanapun mendapat pelbagai maklum balas daripada banyak pihak termasuk ibu bapa pelajar.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com