Tema Tak Sesuai Dengan Budaya


KANGAR - Dewan Pemuda Pas Perlis menyifatkan penganjuran MPK Zombie Run, Sabtu lalu, anjuran Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sebagai tidak wajar selain bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia.

Ketua Penerangannya, Haziq Asyraf Dun berkata, biar pun aktiviti itu bertujuan menggalakkan rakyat bersukan, namun tema yang dipilih sangat memalukan malah bertentangan dengan jolokan negeri Perlis sebagai ‘Negeri Sunnah’.

“Kami sokong sebarang bentuk program yang menggalakkan bersukan kalangan rakyat pelbagai kaum, kerana aktiviti seperti ini dapat melahirkan masyarakat yang sihat selain menggalakkan perpaduan masyarakat. Namun, pelaksanaannya mestilah selari dengan tuntutan syariat dan tidak bercanggah dengan norma dan budaya masyarakat kita,” katanya.

Menurutnya, apa yang menyedihkan program MPK Zombie Run ini seakan mempromosikan budaya tahyul, yang bukan sahaja bertentangan dengan budaya masyarakat Timur, malah calar sensitiviti umat Islam.

“Kami berpendapat, pihak penganjur sepatutnya merujuk kepada pihak berkenaan seperti Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) atau Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) terlebih dahulu sebelum menganjurkannya, apatah lagi acara larian ini berlangsung pada bulan Muharram yang mulia,” katanya.

Haziq Asyraf berkata, pihaknya menggesa supaya MPK mewujudkan garis panduan yang lebih jelas berhubung pelaksanaan aktiviti-aktiviti sukan dan riadah agar pelaksanaan program pada masa akan datang tidak menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang agama dan kaum, khususnya di Perlis.

“Sewajarnya semua pihak harus lebih peka dan bertanggung jawab dalam memelihara imej negeri Perlis,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com