Teknologi Canggih Antara Punca Pelajar Terlibat Dadah


SHAH ALAM - Tindakan segera perlu diambil bagi membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, semua pihak terutama ibu bapa, guru dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil inisiatif membanteras masalah tersebut di peringkat awal bagi mengelakkan ia terus menular.

“Di setiap sekolah ada guru disiplin dan pegawai polis perhubungan sekolah, jadi mereka ini perlu lebih proaktif membendung perkara ini daripada terus berleluasa.

“Jika didapati pelajar ini mengambil dadah, ibu bapa perlu dimaklumkan agar tindakan pemulihan dapat diambil dengan kadar segera,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, masa depan negara akan gelap jika generasi muda hari ini terlibat dengan najis dadah.

“Apa akan jadi kepada negara kita nanti kalau anak-anak ini terlibat dengan dadah. Siapa akan mentadbir dan jaga negara ini nanti?” soalnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memaklumkan PDRM dan Kementerian Pendidikan mengenal pasti 420 sekolah di seluruh negara berisiko tinggi menghadapi masalah penyalahgunaan dadah yang serius.

Katanya, masalah itu akan berleluasa dan sukar dibendung jika tidak diatasi segera.

Mengulas lanjut mengenainya, Musa berkata, melahirkan kebimbangan kerana angka berkenaan bersamaan dengan 17 peratus daripada 2,408 sekolah menengah.

“Pada saya itu angka yang cukup tinggi dan membimbangkan,” katanya.

Menurutnya, kecanggihan teknologi hari ini adalah salah satu faktor kepada pembabitan pelajar dalam penyalahgunaan dadah.

“Semuanya di hujung jari, mereka boleh buat carian mengenai jenis dadah dan pembuatan dadah di Internet. Perasaan ingin tahu adalah lumrah anak-anak muda terutama ketika di bangku sekolah.

“Begitu juga dengan pengaruh kawan di alam maya. Kadang-kadang mereka ini tidak kenal pun latar belakang rakan mereka itu. Dalam hal ini, ibu bapa perlu tahu dengan siapa anak mereka berkawan,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com