Tanjong Datu Mampu Jadi Sehebat Pulau Langkawi


Kawasan Tanjong Datu mempunyai potensi untuk dibangunkan seperti Langkawi yang merupakan bandar peranginan dengan kewujudan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan pada masa ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, pada asalnya pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo tidak merangkumi Jajaran Telok Melano - Sematan namun Bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem berusaha memasukkan jajaran tersebut ke dalam projek yang menghubungkan Sarawak dan Sabah itu.

"Dengan adanya lebuh raya ini, ia menyediakan akses lebih sempurna dan menjimatkan masa pelancong ke Lundi dan Sematan, terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) atau pusat bandar raya.

"Ia bakal menyaksikan peningkatan jumlah pelancong di kawasan ini namun kita perlu bersiap sedia dalam menghadapi keadaan itu termasuk menaiktaraf infrastruktur pelancongan sedia ada selain bilik penginapan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jamilah menggalakkan pelabur untuk menanam modal di Tanjong Datu terutama dalam sektor perhotelan dan hospitaliti.

Jelasnya, ia seiring dengan perkembangan kawsan itu sebagai destinasi pelancongan.

Menurutnya lagi, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam membangunkan kawasan itu sebagai bandar peranginan.

"Ini bagi menampung keperluan semasa khususnya bagi mengatasi masalah bilik penginapan setiap kali berlangsung acara besar. Di Tanjong Datu dan kawasan sekitarnya, kita memiliki banyak aset pelancongan termasuk taman negara yang kaya dengan khazanah flora dan fauna serta kawasan pantai yang menarik," ujarnya.

Sumber: Sarawakiana

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com