Tampar Kepala, Kejar Ibu Dengan Pisau


KOTA BHARU - Hanya kerana ibunya enggan memberi wang, seorang lelaki tergamak menampar kepala wanita itu sebelum mengejar mangsa dengan sebilah pisau di Kampung Lubok Pukul, Banggu, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang, mangsa berusia 69 tahun berjaya mendapatkan perlin­dungan di rumah kakak yang terletak bersebelahan kediamannya dan cuma mengalami cede­ra ringan serta lebam di lutut dan siku.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, suspek berusia 34 tahun didapati pernah ditahan polis dan mempunyai rekod berkaitan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, suspek dikatakan naik angin secara tiba-tiba selepas gagal mendapatkan sejumlah wang daripada ibunya.

“Berlaku pergaduhan mulut­ antara mereka sebelum suspek bertindak menampar kepala mangsa dan pergi ke dapur untuk mengambil sesuatu. Bimbang kese­lamatan diri, mangsa melarikan diri ke rumah kakaknya yang terletak bersebelahan rumah.

“Penduduk yang menyaksikan kejadian itu memberitahu suspek cuba mengejar mangsa sambil memegang sebilah pisau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan pe­ringkat Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan.

Hasanuddin memberitahu, selepas kejadian itu, suspek menghilangkan diri namun pihak polis berjaya mengesan dan menahannya kira-kira pukul 11.35 malam untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan mela­kukan ugutan jenayah.

Terdahulu ketika berucap, Hasanuddin menggalakkan anggota dan pegawai polis supaya memastikan mereka mencapai sasaran kecergasan dan kelangsing­an fizikal ideal iaitu dengan jisim berat badan (BMI) tidak melebihi 28 menjelang tahun depan.

Tambahnya, bagi membantu mereka mencapai sasaran ber­kenaan, pelbagai program kecergasan telah diatur dan akan dilaksanakan sepanjang tahun depan.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com