Tak Dipeduli, Tak Dipecat PAS: Ini Jawapan Mahfuz Omar Kepada Tuan Ibrahim


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar menyeru kepada semua ahli PAS supaya menyokong dan memberi undi kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang berlangsung tidak lama lagi.

Atas alasan PAS hanya mensasarkan sebanyak 40 kerusi Parlimen yang dikatakan tidak melayakkan parti itu mendapat kuasa, ahli PAS di seluruh negara boleh menyatakan sokongan secara terbuka sepertinya, atau diam-diam mengundi Pakatan Harapan.

"Saya menyeru ahli-ahli (PAS) untuk menyokong dan mengundi Pakatan Harapan secara terbuka atau secara senyap.

"Keperluan menyokong dan mengundi  Pakatan Harapan adalah penting untuk membolehkan peralihan kuasa politik berlaku pada PRU ke-14 nanti kerana PAS hanya menyasarkan kemenangan 40 kerusi," katanya dalam satu kenyataan yang diterima Kedahnews.com di sini, hari ini.

Mahfuz dalam kenyataannya itu juga mengucapkan "terima kasih" kepada Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man atas kenyataan Timbalan Presiden PAS itu untuk tidak mempedulikan kecaman Mahfuz terhadap PAS sebelum ini.

Kata Ahli Parlimen PAS yang menyokong Pakatan Harapan itu, kenyataan Tuan Ibrahim itu menunjukkan PAS tidak kisah sekiranya terdapat ahlinya yang menyokong dan memberi undi kepada Pakatan Harapan.

"Terima kasih kepada PAS khususnya Tuan Ibrahim atas kenyataan ini.

"Ini merupakan pendirian yang cukup matang. Kenyataan Tuan Ibrahim untuk tidak mempedulikan apa-apa yang saya lakukan bersama dengan Pakatan Harapan dan kenyataan-kenyataan saya terhadap PAS adalah disambut baik.

"Ini bermakna, PAS tiada masalah untuk ahli-ahli PAS yang lain menyokong dan mengundi Pakatan Harapan untuk merubah mengambil alih kuasa politik negara dari UMNO BN dalam masa yang sama terus kekal menjadi ahli PAS." kata Mahfuz.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang enggan memecat beliau dari PAS, sebaliknya meminta supaya semua pihak tidak mempedulikan pendiriannya yang memihak Pakatan Harapan dan menyerang PAS.

Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya sebelum ini meminta semua pemimpin dan penyokong PAS supaya tidak mempedulikan sikap Mahfuz yang dikatakan mengkhianati jemaah parti, sebaliknya memberi tumpuan kepada PRU ke-14.

“Kita (PAS) fikir tidak ada keperluan kerana lebih baik fokus kepada pilihan raya. Tak payah buang masa dengan dia (Mahfuz). Dia boleh tinggal dalam PAS selagi PAS tak buang dia," tegas Naib Presiden PAS itu sebelum ini.

Mahfuz sebelum ini dilaporkan kecewa dengan pendirian PAS yang enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, khususnya DAP yang disifatkan menolak kepentingan Islam dan Parti Amanah Negara (PAN) yang dikatakan mengkhianati perjuangan parti itu.

Setelah disingkirkan dari Pakatan Harapan, PAS memperkenalkan konsep pendekatan "politik matang dan sejahtera" untuk menjadi sebuah parti pembangkang yang sihat di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin menegaskan bahawa konsep politik PAS tersebut menekankan perjuangan utama jemaah parti itu yang berjuang mencari keredhaan Allah dan bukan hanya semata-mata untuk merebut kuasa politik di negara ini.

Ekoran itu, beberapa pemimpin PAS termasuk Mahfuz difahamkan tidak berpuas hati atas pendirian parti itu yang meletakkan keredhaan Allah itu sebagai keutamaan berbanding mendapatkan kuasa politik di Putrajaya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com