Tahfiz Di Rantau Panjang Pula Terbakar


KLANG - Dua pelajar Pusat Pengajian dan Tahfiz Nur Al-Quran, Batu 4, Jalan Genting, Rantau Panjang cuba memadamkan kebakaran namun gagal sebelum berlari keluar menyelamatkan diri.

Ahmad Ammar Rasyid Norhisham, 15, berkata, dia dan Mohd Haziq Hafizi Baharuddin, 14, mulanya bertindak menyiram air bagaimanapun gagal kerana api semakin marak.

"Mudir mendesak kami keluar menyelamatkan diri kerana asap semakin tebal.

"Bimbang dengan keselamatan diri, kami berdua bergegas turun ke tingkat bawah," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, empat bilik asrama pelajar lelaki Pusat Pengajian dan Tahfiz Nur Al-Quran, Jalan Genting, Rantau Panjang, dekat sini, musnah terbakar.

Bilik yang berada di tingkat satu itu menempatkan 25 pelajar lelaki berusia antara 10 hingga 19 tahun.

Sebelum kejadian itu, menurutnya, semua pelajar berada di dalam kelas di tingkat bawah asrama berkenaan.

"Ketika sedang belajar, ada pelajar perempuan datang dan memaklumkan kepada kami nampak asap hitam dari arah asrama.

"Kami dan Haziq bergegas ke atas manakala pelajar lain ada yang mengangkut air untuk bantu kami padam kebakaran," katanya.

Pada masa sama, katanya, penduduk berhampiran juga bertindak mengeluarkan tong gas di dapur.

Dalam kejadian itu kesemua 25 pelajar dan dua mudir terselamat.

Difahamkan, pusat tahfiz berkenaan sudah beroperasi di tapak berkenaan sejak kira-kira empat tahun lalu.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com