Suami Isteri Di Alor Setar Cari Waris Anak Angkat


ALOR SETAR - Pasangan suami isteri, Said Hassan dan Hasniza Hashim memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ibu dan bapa kandung atau waris kepada anak angkat mereka, Muhammad Ezad Abdullah, 6, bagi mengemas kini sijil kelahiran dan urusan daftar persekolahan.

Hasniza berkata, anak angkatnya itu dilahirkan di di Mersing, Johor oleh wanita berketurunan Thailand bernama, Maskah Kache Mat Isa, ketika berusia 29 tahun.

“Bayi itu diserahkan ibu kandungnya kepada kami ketika 12 hari.

“Masa itu kami memang mencari anak angkat, setelah dimaklumkan oleh kakak angkat suami, Habsah, kami setuju ambil Muhammad Ezad sebagai anak angkat,” katanya.

Pasangan suami isteri itu membuat perjanjian dengan ibu bapa anak angkatnya itu dan menyerahkan anaknya untuk dibesarkan bawah jagaan pasangan itu yang menetap di Kuala Sala.

“Maskah pernah beritahu yang dia tidak akan tuntut anak itu, kerana memang mahu diserahkan kepada keluarga angkat atas faktor tertentu.

“Kami gagal menjejaki dia kerana itulah kali pertama dan terakhir kami berjumpa,” katanya.

Mereka kini mencari ibu bapa dan waris anak angkatnya bagi tujuanmengemas kini sijil pendaftaran anak angkatnya, kerana didaftarkan sebagai bukan warganegara.

“Kami bimbang masa depannya terjejas kerana maklumat pada sijil lahir tak lengkap," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com