SPRM Kedah Tingkat Pemantauan Di ICQS


ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah akan meningkatkan pemantauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam untuk mengawal gejala rasuah dan salah guna kuasa melibatkan penguat kuasa dan orang awam.

Menurut Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, hal ini susulan tempoh pembukaan dilanjutkan dari 18 jam kepada 20 jam sehari yang akan berkuat kuasa November ini, tidak menolak kemungkinan laporan kes rasuah serta salah guna kuasa di pintu sempadan Malaysia dan Thailand akan lebih tinggi berbanding sebelum ini. 

“Pegawai penguatkuasa SPRM dari ibu pejabat dan negeri ini akan melakukan pemantauan termasuk melakukan risikan untuk mengesan kes membabitkan rasuah di pintu sempadan itu.

“Kita berharap gejala rasuah di kawasan tersebut tidak serius walaupun tempoh operasi ICQS yang baru dibuka September lalu dilanjutkan dua jam lagi,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kakitangan dan pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah di Kuala Kedah, di sini pada Isnin.

Dalam majlis itu, seramai 120 kakitangan dan pegawai LKIM Kedah telah melafazkan dan menandatangani Ikrar IBR yang diketuai Timbalan Pengarah LKIM Kedah, Noorhisyam Arshad.

Ujar beliau,sebelum ini SPRM Kedah ada menerima laporan mengenai penguat kuasa di pintu sempadan itu terlibat dengan rasuah namun tidak ada kes besar.

Tambahan pula, jumlah penguatkuasa SPRM di negeri ini tidak ditambah dalam tempoh terdekat ini walaupun operasi ICQS akan dilanjutkan bulan hadapan.

“SPRM negeri mengharapkan ada pertambahan anggota penguat kuasa termasuk di pejabat SPRM Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi selepas ini,” katanya yang dipetik dari Sinar Online.

Fasa pertama pembinaan ICQS melibatkan Kompleks Kenderaan Berat yang menjadi sebahagian projek bernilai RM425 juta mula beroperasi pada September lalu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com