Sistem Pendidikan Tinggi Perlu Diubah, Sesuai Generasi Muda


KUALA LUMPUR - Sistem pendidikan tinggi negara perlu diubah suai untuk memenuhi keperluan generasi muda, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris berkata kementeriannya kini terlibat dengan beberapa pihak yang berkaitan untuk mendapatkan pandangan bagi menjayakan Revolusi Pendidikan 4.0.

"Sistem pendidikan tinggi kita perlu diubah suai selaras dengan peredaran teknologi dan generasi pelajar. Idea-idea ini akan diambil dan dimasukkan ke dalam kerangka Revolusi Pendidikan 4.0," katanya selepas pertandingan ‘Pitch for Progress 2.0’ di Asia Pacific University Of Technology & Innovation di sini.

Revolusi Pendidikan 4.0 adalah sebahagian Revolusi Perindustrian 4.0 yang menular di seluruh dunia, iaitu trend semasa automasi dan pertukaran data yang merangkumi sistem siber fizikal, internet benda, pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif.

Tiga universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan MAHSA University meraih tiga tempat teratas dengan idea masing-masing.

Pasukan UKM Inspire 4.0 mencadangkan ‘flexspace’, modul pembelajaran iaitu pelajar boleh memilih tempoh pengajian berdasarkan keupayaan mereka manakala pasukan USM Successors mencadangkan konsep kelas yang lebih santai.

MAHSA Maverics pula mencadangkan tempoh percubaan pengajian, secara dalam talian bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk memilih bidang pengajian yang sesuai dengan mereka.

Lebih 50 universiti seluruh negara mengambil bahagian dalam pertandingan itu dan ketiga-tiga universiti tersebut, masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com