Shahrir Samad Sedia Hadapi Pakatan Harapan Di JB Termasuk Adik Sendiri


AHLI Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad bersedia berdepan dengan calon dari pakatan pembangkang pada PRU akan datang walaupun berkemungkinan berdepan dengan adiknya sendiri, Khalid Samad daripada Parti Amanah Negara (PAN).

Ketua UMNO Bahagian Johor itu berkata, ada 'khabar angin' mengatakan Pakatan Harapan bakal meletakkan tokoh ternama sebagai calon di Johor.

Oleh yang demikian Sharir berkata beliau berminat untuk berdepan calon terbabit dalam apa jua kedudukan.

Pada awal-awalnya Shahrir yang merupakan antara ahli Parlimen yang cukup lama meramalkan PRU14 kali ini antara yang paling mudah.

“Tapi bila dah dengar macam-macam, macam-macam nak datang ke Johor lah itu kan, termasuklah Khalid Samad pun nak datang ke Johor .

"Saya ingat kalau begitu semua dah berminat pada Johor, saya pun berminat juga lah berdepan dengan mereka dalam apa pun kedudukan,” katanya  kepada pemberita pada sidang media selepas program Dialog Perjuangan4All, di sini malam semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Shahrir mengulas hasrat pakatan pembangkang menjadi Johor sebagai 'frontline state' pada PRU akan datang.

Bagaimanapun beliau menjelaskan apa yang dinyatakan oleh pemimpin pembangkang mengenai perkara tersebut bukanlah perkara baharu.

“Itu pun bukan perkara yang baru... kan, PRU13 dia janjikan tsunami politik di Johor. Kali ini dia dah rasakan dengan adanya Mahathir, Muhyiddin, tambah dengan Anwar Ibrahim, saya ingat dia rasa boleh ditembus Johorlah,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menimbang semula keputusannya sebelum ini tidak mahu bertanding pada PRU14, Shahrir hanya menjawab tumpuan pembangkang pada Johor itu membuatkan dirinya tidak akan berundur.

“Kalau ikut dulu memang pada saya punya ramalan PRU14 paling mudah, tapi nampaknya semua dah lain, ramai nak tumpu menjadikan Johor sebagai ‘frontline state,’ jadi tidak kan lah saya nak undur ke belakang,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Harapan dikatakan mahu meletakkan beberapa pemimpin kanan pembangkang dalam usaha untuk merampas kubu kuat UMNO di Johor.

 Mereka termasuk beberapa pemimpin DAP, PKR dan PPBM.

Baru-baru ini Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin (Muar) dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) antara yang disebut-sebut akan berubah tempat di kawasan Parlimen Johor. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com