Seni Halus Pasir Laut Tarik Perhatian


PULAU PINANG - Lenggok tangan lelaki tinggi lampai dengan gaya bersahaja mengukir balung ayam menggunakan pasir laut membuatkan ramai pengunjung mengerumuni satu sudut di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, baru-baru ini.

Apabila didekati dan disapa, rupa-rupanya, anak muda itu, Mo­hammad Ikhwan Ibrahim, 27, sememangnya mempunyai penga­laman luas dalam menghasilkan replika arca yang cantik dan halus.

Dia yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Seni Bina Landskap di Universiti Sains Malaysia sering mencari peluang menghasilkan pelbagai rekaan haiwan, logo dan bendera khususnya pada musim perayaan.

Malah, namanya kini semakin meningkat naik dan dikenali bukan sahaja di ne­geri ini tetapi di Kuala Lumpur, Sabah dan di luar negara seperti United Kingdom (UK).

Bakatnya tidak bo­leh disangkal kerana dengan hanya menggunakan sebatang ka­yu kecil, berus cat dan air, dia mampu men­dirikan replika pelbagai saiz sehingga empat meter yang boleh mencecah harga RM20,000.

Menceritakan lebih lanjut pe­ngalaman pertamanya, Mohammad Ikhwan memberitahu, sekitar 2012, dia ke pantai Batu Feringghi di sini untuk membentuk ukiran seorang wanita bagi mengisi masa lapangnya.

Bagaimanapun, dia tidak me­nyangka ukiran tersebut mendapat perhatian pengunjung di situ yang memintanya untuk mengkomersialkan hasil rekaan tersebut di media sosial.

Ceritanya lagi, bermula dari itu, dia akan ke pantai berkenaan setiap bulan untuk berlatih me­ngukir sebelum pada 2014, beberapa pusat membeli-belah dan restoran menghubunginya un­tuk membuat tempahan.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan bakat yang tidak dimiliki ramai orang. Pada mulanya saya buat rekaan pasir pantai ini secara suka-suka tetapi tidak menyangka menarik perhatian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut graduan Diploma Seni Lukis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka itu lagi, dia sangat menitikberatkan kualiti se­ni setiap kali menghasilkan sesebuah replika arca berkenaan.

Ini kerana, katanya, kualiti seni dalam setiap rekaan akan membolehkan orang ramai memahami mesej keharmonian dan nilai estetika yang cuba disampaikannya.

“Saya akan membuat rekaan mengikut musim perayaan. Contohnya, semasa Tahun Baharu Cina, saya ukir ayam dan saya telah mereka bendera dan gambar bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa sambutan Hari Kebangsaan yang lepas,” jelasnya.

Tambahnya lagi, tempoh bagi menyelesaikan sesebuah rekaan mengambil masa antara dua hingga lima hari mengikut saiz yang diminta pelanggan dan masanya boleh bertambah berdasarkan tahap ketelitian penghasilannya.

“Besar cita-cita saya mahu menjadikan rekaan arca pasir ini sebagai bidang seni yang lebih eksklusif selain diperluaskan di seluruh tempat supaya orang ramai boleh melihat dan menghargainya bukan sahaja pada musim perayaan,” katanya yang telah menghasilkan lebih 10 rekaan sejak 2014.

Tambahnya, dia ketika ini juga dalam perancangan menjemput rakan-rakan dari luar negara untuk menyertai Penang Beach Festival yang akan dianjurkan di negeri ini tidak lama lagi.

Orang ramai atau mana-mana agensi yang ingin mendapatkan khidmat Muhammad Ikhwan boleh meng­hubunginya menerusi talian 017-4970297 atau mengunjungi Facebooknya, Ikhwan Saloot Visual Artist.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com