Senaraikan Pesta Air Kuala Perlis Dalam Kalendar


KUALA PERLIS - Pesta Air Kuala Perlis yang semakin mendapat tempat di hati pelancong akan dianjurkan lebih meriah untuk meningkatkan popularitinya supaya disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Malaysia, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata beberapa kriteria antaranya jenis acara dan jumlah  penyertaan perlu dipenuhi sebelum sesuatu acara itu boleh disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Malaysia.

“Penganjuran pesta ini sudah mencapai tahap yang diperlukan termasuk memberi impak terhadap sektor pelancongan Perlis”, katanya kepada pemberita pada pesta itu di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Perlis  semalam.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pesta selama dua hari bermula semalam.

Azlan berkata kehadiran pelancong asing menunjukkan pesta tersebut semakin popular seperti Marathon Perlis dan Pesta Angin Timur yang telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Malaysia.

Sebanyak 34 buah pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan pada pesta  itu yang acara utamanya kategori Perahu 12 Pendayung dan 14 Pendayung antara kampung dan kategori 20 pendayung antara jabatan dan agensi kerajaan serta jemputan di samping sukan rakyat seperti pukul bantal, panjat tiang licin dan menjala ikan.

Pasukan Pulau Pinang menjuarai acara jemputan Perahu Naga P20, Anak-Anak Kuala Perlis (PEKOLA) di tempat kedua dan Jabatan Laut Malaysia di tempat ketiga.

Juara Perahu Naga P20 kategori Jabatan/Agensi Negeri Perlis disandang oleh pasukan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) naib johan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat  tempat ketiga. –Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com