Saintis Rungkai Sifat Bau Durian


WASHINGTON  – Para saintis Singapura berjaya merungkai persoalan bagaimana buah durian dapat mengeluarkan bau yang disifatkan paling aneh di dunia itu menerusi satu kajian yang dijalankan baru-baru ini.

Untuk itu mereka telah me­metakan genom durian yang dikenali di seluruh Asia Tenggara sebagai raja buah kerana baunya yang ‘menyengat’ serta rupa bentuk serta rasa yang unik.

Mereka berjaya mengenal pasti sekumpulan gen pada bauan yang dikenali sebagai sebatian sulfur dan mendapati gen-gen itu menjadi sangat aktif ketika buah durian mulai masak dan semakin bertambah kuat selepas gugur dari pokok.

“Bau durian ditafsirkan sebagai gabungan aroma sulfur se­perti bawang dengan campuran bau buah-buahan manis dan perasa sup. Komponen utama bau durian adalah sebatian sulfur meruap atau VSC, yang mempunyai ciri-ciri seperti bawang, telur busuk, sulfur dan bawang goreng.

“Tidak seperti spesies tumbuhan lain yang biasanya mempunyai satu atau dua salinan gen, spesies durian didapati mengeluarkan empat salinan gen sekali gus menggandakan pengeluaran VSC seumpama cas turbo,” kata ahli genetik, Bin Tean Teh.

Tean Teh yang juga ketua bersama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Genetics itu berkata, bau buah durian pen­ting bagi membantu menarik perhatian haiwan untuk memakan dan menyebarkan benihnya.

Para ahli sains yang merekodkan genom daripada pelbagai jenis durian Musang King, turut mendapati spesies itu mempu­nyai kira-kira 46,000 gen, hampir dua kali ganda bilangan dalam genom manusia.

Kajian tersebut turut berjaya menjejak evolusi buah durian yang berlaku sejak 65 juta tahun dahulu, selain hubungannya dengan pokok koko yang menghasilkan benih coklat.

Para penyelidik berkata, terdapat sekurang-kurangnya 30 spesies durian termasuk yang tidak boleh dimakan dan beberapa lagi dengan ciri-ciri istimewa tersendiri serta spesies yang hampir terancam. – REUTERS

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com