Saifi KPD Baharu Kuala Muda


ALOR SETAR – Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis daerah Kuala Muda yang baharu, berikrar untuk memikul tanggungjawab diamanahkan dengan sebaik-baiknya dalam menangani jenayah di daerah ini.

Menurut Saifi, dia akan melakukan tugas sehabis baik bagi memastikan penduduk di daerah Kuala Muda khususnya bandar Sungai Petani dapat menikmati kehidupan dalam keadaan selesa serta aman damai.

“Saya sedia untuk melakukan perkara-perkara kebaikan di samping mematuhi matlamat ditetapkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang memberi kepercayaan kepada saya memegang jawatan ini.

“Insya Allah, saya akan memberi komitmen 100 peratus dalam menjalankan tugas-tugas tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini, semalam.

Beliau mengambil alih tugas tersebut daripada Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa yang bersara wajib setelah berkhidmat selama 40 tahun dengan disaksikan oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff.

Tambah Saifi yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, beliau amat mengharapkan kerjasama dari semua pihak termasuk anggota masyarakat bagi memastikan daerah Kuala Muda sentiasa dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Asri dalam ucapannya menzahirkan keyakinan terhadap Saifi untuk menjalankan tugas baharunya itu.

“Selaku individu yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis di daerah ini, saya yakin beliau cukup arif untuk merangka strategi bagi membanteras sebarang bentuk jenayah yang timbul,” ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com