'Rundingan Dengan Korea Utara Hanya Buang Masa' - Trump


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) menyifatkan usaha untuk berunding dengan Korea Utara berhubung program pembangunan nuklear, sebagai sia-sia.

Kenyataan Donald Trump itu dibuat beberapa jam selepas Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson, mendedahkan pegawai AS sedang berhubung dengan rakan sejawatnya di Korea Utara.

Trump `memperkecilkan' usaha pegawai kanannya itu menerusi kenyataannya dalam laman Twitter.

"Saya memberitahu Rex Tillerson, yang dia hanya membuang masa cuba berunding dengan 'Lelaki Roket Kerdil'," katanya, merujuk kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

"Jimatkan tenaga kamu, Rex, kita akan lakukan apa yang perlu," kata Trump lagi.

Tillerson sebelum ini, mendedahkan pegawai AS telah memulakan perbincangan dengan Korea Utara, di sebalik perdebatan antara kedua-dua pemimpin negara terbabit.

Ditanya bagaimana beliau yakin Korea Utara dapat untuk diheret ke meja rundingan sedangkan pada masa sama negara itu semakin meningkatkan kemampuan senjata nuklearnya, Tillerson meminta menunggu hasilnya kerana mereka sedang membuat penelitian. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com