Ronaldo Pemain Terbaik Dunia 2017


LONDON  - Cristiano Ronaldo buat tahun kedua berturut-turut dipilih menerima Anugerah Pemain Terbaik Dunia 2017 dalam satu majlis gilang gemilang anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di sini semalam.

Penyerang Portugal dan Real Madrid berusia 32 tahun itu menewaskan dua calon utama lain iaitu Lionel Messi (Argentina/Barcelona) dan Neymar (Brazil/Paris Saint Germain) dalam saingan tiga penjuru.

Pemilihan Ronaldo dibuat berdasarkan peranan utama yang dimainkannya ketika membantu Real Madrid muncul juara La Liga Sepanyol dan Liga Juara Juara Eropah musim lalu pada pertengahan tahun ini.

Dia sudah menjaringkan 44 gol daripada 48 perlawanan sepanjang tahun ini termasuk dua gol ketika menewaskan Juventus 4-1 dalam aksi final Liga Juara Juara Eropah di Stadium Millenium, Cardiff pada 3 Jun lalu.

“Terima kasih kerana mengundi saya untuk anugerah ini. Juga kepada Leo (Messi) dan Neymar yang hadir. Juga kepada penyokong Real Madrid, rakan sepasukan, jurulatih yang menyokong saya selama ini.

“Saya berada di sini (England) buat kali pertama dengan memenangi anugerah ini untuk tahun kedua berturut-turut. Ia detik yang hebat dan saya amat gembira kerana memiliki penyokong di seluruh dunia,” katanya selepas menerima anugerah itu daripada legenda Diego Maradona dan Ronaldo.

Real Madrid turut menguasai satu lagi anugerah apabila Zinadine Zidane dipilih sebagai Jurulatih Terbaik Dunia menewaskan dua calon lain iaitu Antonio Conte (Itali/Chelsea) dan Massimiliano Allegri (Itali/Juventus).

“Ia satu hadiah yang istimewa,” kata Zidane.

Anugerah Penjaga Gol Terbaik Dunia pula menjadi milik Gianluigi Buffon (Itali/Juventus) yang menewaskan Keylor Navas (Costa Rica/Real Madrid dan Manuel Neuer (Jerman/Bayern Munich).

Sementara itu Anugerah Puskas bagi jaringan tercantik dimenangi Olivier Giroud (Perancis/Arsenal) menerusi sepakan kala jengking ketika aksi menentang Crystal Palace pada Januari lalu. – AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com