Remaja Samun Pegawai Bank Di Kedai Dobi Kulim Diburu


ALOR SETAR - Seorang remaja belasan tahun diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kes samun seorang pegawai bank di sebuah kedai dobi layan diri di Kulim Avenue, Kulim kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 10.15 pagi itu, mangsa, Sharifah Ros Fizah Yacob, 35, disamun ketika menggunakan perkhidmatan dobi layan diri di kedai ber­kenaan secara bersendirian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar, suspek pada ketika itu berpakai­an sukan dan mengenakan topi keledar dengan penutup mulut memasuki kedai berkenaan lalu melarikan beg tangan mangsa.

“Suspek menyuruh mangsa menyerahkan beg tangannya, namun wanita itu enggan. Lelaki itu kemudian menolak kepala wanita tersebut dan memautnya sehingga mangsa jatuh.

“Lelaki berpakaian sukan itu kemudian melarikan diri bersama beg tangan mangsa yang berisi sebuah telefon bimbit jenis Samsung, kad pengenalan, lesen memandu, kad bank serta wang tunai berjumlah RM20,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ahmad Nasir berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

“Pihak polis kini sedang giat memburu suspek yang dipercayai remaja belasan tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” ujarnya seperti yang dipetik dari Utusan Online.

Bagaimanapun, wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian berkenaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com