Remaja Pakistan Bergelar Saintis


LAHORE - Seorang remaja lelaki Pakistan bergelar saintis muda pada usia 17 tahun apabila kajian mengenai aliran elektrik berbentuk sarang lebah yang dilakukannya diterbitkan dalam jurnal Royal Society Open Science.

BBC melaporkan, fenomena elektrik sarang lebah berlaku apabila lapisan minyak yang di­letakkan di atas litar elektrik di antara elektrod tajam dan leper.

Ketidakstabilan yang disebabkan oleh pembentukan ion de­ngan menggunakan tekanan ke atas permukaan minyak boleh mewujudkan corak menarik yang kelihatan seperti sarang lebah atau tingkap kaca berwarna.

Remaja tersebut, Muhammad Shaheer Niazi berjaya merakam gambar mengenai pergerakan ion yang membentuk corak sarang lebah, selain merekod suhu panas yang ditemukan pada permukaan minyak.

Kejayaan remaja itu tidak pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini.

Muhammad Shaheer sebelum ini diberi tugasan mengenai fenomena elektrik sarang lebah ketika menyertai Pertandingan Ahli Fizik Muda Antarabangsa di Rusia pada tahun lalu bersama-sama empat lagi pelajar.

Beliau mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan penulisan kajiannya sebelum diterbitkan dalam jurnal sains berkenaan.

Muhammad Shaheer mene­rima surat bahawa penulisannya diterima beberapa hari sebelum menyambut hari jadi yang ke-17 tahun pada bulan lalu.

“Kajian seperti anak-anak dan anda rasa seperti keluar daripada dunia ini apabila kajian itu diterima untuk penerbitan,” katanya kepada BBC dalam satu temu bual di kediamannya di sini.

Ketika berusia 11 tahun, dia mula mengambil 25 kursus pelbagai subjek secara dalam talian dan mengakui lebih memi­nati teleskop serta melakukan ekspe­rimen sains berbanding bermain alat permainan.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com