Remaja Cacat Dutuduh Edar Dadah, Ditembak Di Kepala, Tangan Dipatahkan


MANILA  - Pada 29 Mac lalu, Raymart Siapo, 19, yang cacat menjadi mangsa dalam kempen memerangi dadah yang dilancarkan Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

Badannya yang penuh dengan kesan tembakan ditemui berhampiran Barangay NBBS, Navotas City di utara Manila.

Pada malam kejadian yang mengerikan itu, remaja tersebut dikatakan telah diculik sekumpulan orang bertopeng yang bersenjata, selepas remaja berkenaan dituduh sebagai pengedar dadah oleh jirannya yang telah bertengkar dengannya sebelum itu.

“Mereka menyuruh anak saya supaya lari, tetapi anak saya yang cacat pada kakinya tidak mampu untuk berlari. Mereka lalu menembak dia di kepala dan mematahkan tangannya,” kata ibunya Luzviminda Siapo atau Minda sambil berlinangan air mata.

Si ibu tersebut bekerja di Kuwait sebagai amah ketika kejadian yang menimpa anak lelakinya itu.

Sambil memegang gambar mayat anaknya yang penuh berdarah semasa satu forum bagi memperkatakan isu perang dadah yang dilancarkan kerajaan Duterte, Minda memberitahu hatinya menjadi remuk apabila mengetahui  berita  kematian anaknya.

Pembunuhan Raymart dianggap sebagai kesan dari peperangan dadah yang dilancarkan Duterte yang mana didakwa ia turut melibatkan pihak polis Filipina yang menerima wang untuk membunuh suspek dadah, meletak bukti di lokasi jenayah serta melakukan pembunuhan yang dipersalahkan ke atas pihak lain.

Kepedihan Minda bukan sahaja kerana kehilangan anak tersayang, tetapi ibu tunggal dengan dua orang anak ini turut mengalami penghinaan dalam meyakinkan majikannya untuk membenarkannya pulang ke Filipina bagi menghadiri majlis pengebumian anaknya.

“Saya terpaska mencium kaki majikan saya sebanyak  tiga kali,” katanya yang juga terpaksa melepaskan statusnya sebagai Pekerja Filipina di Luar Negara (OFW)  bagi menjaga seorang lagi anak perempuannya yang berumur 10 tahun.

Hasil pembunuhan Raymart, Ketua Polis Negara, Jen Ronald ‘Bato’ de la Rosa pada April lalu telah mengarahkan agar siasatan dilakukan yang hasil siasatannya sehinga kini masih belum jelas.

Minda juga berkata dia tidak menerima sebarang  maklumat mengenai kematian anaknya.

“Namun saya akan teruskan sehingga saya menemui kebenaran mengenai  pembunuhan Raymart,” katanya.

Seorang Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Filipina, Leah Tanondra-Armamento mendakwa  jumlah tidak rasmi mangsa pembunuhan dalam peperangan itu meningkat kepada 13,000 orang dengan hanya kira-kira 8,000 kes yang disiasat.

Kerajaan mendakwa jumlah kematian dalam memerangi dadah adalah 3,000 orang.

Mangsa pembunuhan adalah mereka yang miskin dan terpinggir.

Armamento berkata suruhanjaya tersebut menyokong usaha kerajaan memerangi dadah tetapi bukan pembunuhan yang melanggari undang-undang itu.

“Kami meminta Presiden Duterte untuk menghentikan pembunuhan kerana ia adalah jenayah,” katanya dan turut mahu pihak polis berhenti daripada menjadi ‘mesin pembunuh’ bagi kerajaan, seperti yang didakwa ramai.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com