Rashid Cadang BAM Wujud Situasi `Menang-Menang'


KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih Kelab Badminton (KB) Cheras, Rashid Sidek mahu situasi 'menang-menang diwujudkan sekiranya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhasrat untuk mengambil pemain kelab menyertai badan induk itu.

Pandangan itu disuarakan oleh Rashid selepas BAM mengesahkan enam pemain daripada kelab badminton tempatan akan menyertai badan induk itu dalam masa terdekat.

"Saya fikir dalam hal ini, kena ada keputusan yang adil untuk kedua-dua pihak. Kelab sudah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi membentuk pemain berkualiti tetapi akhirnya BAM ambil mereka.

"Jadi, sudah pasti sedikit sebanyak akan menimbulkan rasa tidak puas hati daripada kelab. Perkara ini perlukan perbincangan selanjutnya.

"BAM boleh ambil tetapi sekurang-kurangnya bagi peruntukkan kepada kelab untuk mereka melahirkan lebih ramai lagi pemain berkualiti," kata Rashid yang ditemui selepas aksi pusingan akhir saingan Junior Purple League (JPL) di Sports Arena Puchong, di sini, semalam.

Kelmarin, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengesahkan badan induk itu akan membawa masuk enam pemain baharu daripada sebuah kelab badminton tempatan bagi memperkuatkan kem beregu lelaki dan beregu campuran skuad negara.

Malah, BAM selepas mesyuarat ahli majlis badan induk itu, semalam turut membuat peraturan baharu yang menyaksikan pemain kelab tidak lagi dibenarkan beraksi dalam kejohanan bertaraf Grand Prix Emas dan Siri Super jika tidak bernaung di bawah badan induk itu.

Namun, BAM memberi pengecualian kepada pemain kelab atau profesional yang sudah beraksi pada kedua-dua kejohanan berkenaan melebihi tempoh setahun dan sudah berada dalam undian utama.

Mengulas mengenai peraturan itu, Rashid mengakui terkejut dan tidak menolak kemungkinan ia akan membuatkan pemain kelab hilang semangat untuk beraksi di peringkat tertinggi.

Sementara itu, Rashid mengakui gembira selepas KB Cheras muncul juara buat kali pertama dalam saingan Divisyen Satu Junior Purple League (JPL).

KB Cheras menutup tirai saingan musim ini penuh cemerlang apabila menang semua lapan perlawanan yang dilangsungkan mengikut format liga sepusingan termasuk aksi terakhir menentang KB Petaling Jaya dengan kemenangan 11-9.

"Kita pun tidak sangka kita boleh menang banyak perlawanan. Tidak sangka juga agak mudah kita jadi juara sebab rata-rata kelab kita hanya ada dua pemain import manakala selebihnya pemain tempatan.

"Pemain semua menunjukkan kemampuan sebenar mereka. Mereka berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan...itu yang saya nampak," kata Rashid

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com