Rantai Anak Pada Tong Gas, Dera Ala Kunta Kinte Tahun 70-an


KES leher kanak-kanak dirantai di tong gas Khamis lalu mengimbau fikiran saya kepada kisah Kunta Kinte yang saya tonton di TV penghujung 70-an.

Saya ikuti setiap siri filem yang diadaptasikan daripada buku berjudul Roots, tulisan Alex Haley itu dengan deraian air mata.

Ia mengisahkan lelaki bernama Kunta Kinte dari Juffureh, Gambia, yang diculik pada 1767 dan dibawa bersama mangsa-mangsa culik lain dengan kapal dari James Island ke Amerika Utara, di mana mereka dijual sebagai hamba.

Memandangkan Kunta Kinte adalah hamba yang paling popular pada zaman itu, maka James Island diberi nama  Kunta Kinte Island.

Mereka yang diculik dihantar kepada pemilik tanah dan ladang.

Kunta Kinte dijual kepada tuan tanah dan ladang bernama Waller, yang memerah tenaganya untuk mengerjakan tanaman di ladang.

Kunta Kinte memberontak dalam hati dan perlakuan kerana tidak suka dengan nama Toby yang diberikan kepadanya oleh Waller, di samping menentang sistem perhambaan keterlaluan.

Memendekkan cerita yang panjang, setelah ditangkap selepas empat kali cuba melarikan diri dari ladang, kumpulan penangkapnya itu memberi Kunta Kinte dua pilihan, iaitu sama ada dikembirikan atau dipotong kaki.

Kunta Kinte memilih untuk dipotong kaki. Maka, dia menerima hukuman itu. Kaki kanannya dipotong pada paras buku lali. Di samping itu, kedua-dua belah kaki, tangan serta lehernya dirantai.

Keengganannya untuk dikembiri adalah satu hikmah kerana dia kemudian berkahwin dan mendapat zuriat untuk membawa namanya.

Saya sudah lupa banyak daripada jalan cerita filem Kunta Kinte ini kerana terlalu lama, tetapi tiba-tiba berusaha mencungkil sedikit sebanyak daripada cerita menyayat hati ini setelah membaca laporan mengenai kanak-kanak yang dirantai di tong gas itu.

Kanak-kanak berumur 10 tahun itu bukan hamba pun atau daripada kalangan etnik minoriti Rohingya yang sedang menderita diseksa di Myanmar. Apatah lagi hari ini kita bukanlah manusia seperti yang hidup pada zaman Kunta Kinte yang tidak bertamadun itu.

Dia hanya seorang kanak-kanak yang, disebabkan suasana keliling, barangkali menjadi sedikit nakal, balik lambat dan tidak berminat pergi sekolah.

Apakah hanya kerana kelakuannya sebegitu yang dia sendiri belum faham akibatnya maka lehernya perlu dirantai sebegitu rupa?

Haiwan pun tidak dirantai dengan besi yang tebal begitu dan diletakkan dalam keadaan yang hina lagi sangat berbahaya.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Sudah hilang peri kemanusiaan? Sudah tidak ada hati perut?

Rupanya masih ada ramai lagi manusia yang tidak bertamadun dalam dunia moden serba canggih ini; masih ada banyak lagi haiwan yang bertopengkan manusia dalam kalangan kita.

Malu kepada monyet yang menyeringai mempertahankan keselamatan anaknya kalau diganggu; malu kepada ibu ayam yang mengepak dan memperjudikan nyawa dan menyerbu sesiapa sahaja yang mendekati anak-anaknya.

Perlakuan kejam seperti ini bukan sahaja membuat kanak-kanak gerun, tetapi Kunta Kinte pun akan lari!

Pembaca budiman tentu akui kes merantai kanak-kanak di tong gas ini bukan kes pertama akibat perbuatan manusia berotak, tetapi tidak berhati perut.

Banyak lagi sudah berlaku sebelum ini dan entah apa lagi akan berlaku selepas ini. Wallahuaklam!

Tentu kita masih ingat kes kanak-kanak dibakar rentung oleh lelaki penagih dadah, juga yang ditinggalkan bergelumang dengan sampah dan najis dalam keadaan kurus kering akibat kebuluran.

Mereka yang dibelasah tiga suku maut, disebat, dicucuh dengan api puntung rokok yang tidak dilaporkan  entah berapa ramai lagi.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencatatkan 4,652 kes penderaan kanak-kanak dari 2015 hingga tahun lepas dan 581 kes penderaan kanak-kanak melibatkan pengasuh antara 2015 dan Jun lalu.

Daripada jumlah itu, penderaan fizikal mencatatkan kes paling tinggi, iaitu 2,470 manakala 2,012 kes melibatkan penderaan seksual dan 170 penderaan emosi.

Perbalahan keluarga berpunca daripada masalah kewangan, pengabaian dan tekanan di tempat kerja adalah antara perkara yang menyumbang kepada kes penderaan.

Betullah kata penulis lebih 30 buku mengenai budaya dan sejarah Islam, Maryam Jameelah (Margaret Marcus sebelum memeluk Islam pada 1962): “Manusia mampu terbang seperti burung dan berenang seperti ikan, tetapi (ramai) tidak mampu hidup seperti manusia”.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com