Rangka Dalam Tempayan Tiada Unsur Jenayah


BATU GAJAH - Empat rangka manusia yang ditemui dalam empat tempayan di kawasan bukit berdekatan Kampung Baru Nala, Tronoh, di sini, jam 12.26 tengah hari, kelmarin, disahkan tiada unsur jenayah.

Perkara itu disahkan pakar patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selepas empat rangka manusia itu ditemui di dalam empat tempayan oleh pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, empat tengkorak serta tulang-tulang ditemui dalam tempayan itu disahkan berada dalam keadaan reput dipercayai sudah meninggal dunia puluhan tahun dulu.

Katanya, keadaan tulang yang reput menyebabkan ia tidak boleh dianalisis secara tepat, namun terdapat kesan tanah pada tulang itu

“Dipercayai tulang-tulang ini pernah tertanam dalam tanah dan kemungkinan berada dalam kubur lama yang dikorek semula.

“Semua tulang tidak lengkap empat rangka manusia dan ada beberapa bahagian tulang lebih daripada sepatutnya,” katanya.

Mohd Nasri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada kontraktor TNB memaklumkan mengenai penemuan empat tempayan berisi rangka manusia sebelum pihaknya ke lokasi itu.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati empat tempayan itu berada di antara tiang elektrik di atas puncak bukit dikelilingi ladang sawit serta terdapat lombong lama yang sudah tidak beroperasi lebih kurang 17 tahun dan jirat Cina terletak 10 kilometer dari lokasi penemuan itu.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com