Ramai 'Pakar Pendakap Gigi' Berguru Di Youtube


KUALA LUMPUR - Ramai remaja dan belia tempatan dikesan berstatus ‘doktor gigi Youtube’ dengan menjadikan Internet sebagai ‘guru’ bagi menuntut ilmu berkaitan cara memasang pendakap gigi secara haram.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya mengesan wujud klip video tutorial di Youtube yang memberi penerangan kaedah pemasangan pendakap gigi kepada orang ramai.

Menurutnya, antara video klip yang popular adalah Watch how we put your braces on!’, Getting Braces - How? dan ratusan video lain berkaitan kaedah langkah demi langkah.

“Bagaimanapun, tindakan individu belajar kaedah pemasangan pendakap gigi melalui Youtube sangat berbahaya berikutan video klip itu hanya mementingkan cara pemasangan saja.

“Individu yang memuat naik video itu tidak berkongsi ilmu secara terperinci berhubung kekuatan untuk menarik besi pendakap dan pergerakan gigi,” katanya.

Dia berkata, struktur gigi dan mulut setiap manusia berbeza dan perkara ini perlu diambil perhatian serius ketika proses pemasangan pendakap gigi.

“Malah, lebih berbahaya apabila Youtube tidak mengajar berhubung jangkitan dan penularan penyakit kesan daripada pemasangan pendakap gigi.

“Hakikatnya pemasangan pendakap gigi bukan boleh dilakukan semua doktor bertauliah. Malah, doktor gigi biasa sekalipun tidak mempunyai kemahiran itu kecuali doktor pakar,” katanya.

Sebelum ini, Unit Kawalan dan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS) serta Penguat kuasa Pergigian KKM pernah menyerbu sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini, yang dijadikan markas seorang remaja perempuan menjalankan kegiatan memasang pendakap gigi haram.

Gadis berusia 17 tahun itu dikesan aktif menjalankan kegiatan mencuci dan memasang pendakap gigi palsu yang dibeli dari Pekan Baru, Indonesia.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com