Rakyat Kedah Kini Kembali Boleh Bayar Bil Air Di Pejabat Pos


ALOR SETAR - Penduduk di negeri Kedah kini boleh membuat bayaran bil utiliti Syarikat Air Darul Aman (SADA) di semua kaunter Pejabat Pos sama ada di negeri ini mahupun di seluruh negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tujuan utama kemudahan tersebut dilaksanakan kembali adalah bagi memudahkan para pengguna di negeri ini, khususnya pengguna di luar bandar membuat bayaran bil air mereka.

"Langkah ini bertujuan mengembalikan akses yang mudah kepada pengguna terutama di kawasan luar bandar, setelah pembayaran di Pejabat Pos seluruh negara dihentikan pada 1 Mac 2011," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri  di sini,  hari ini.

Ahmad Bashah berkata, langkah yang berkuatkuasa pada 19 Oktober lalu itu dilaksanakan bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat di negeri ini, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan kepada lebih 100,000 orang pengguna di negeri ini.

Mengulas sama ada terdapat bayaran tambahan yang perlu dibayar melalui pejabat pos, beliau menjelaskan bahawa bayaran caj komisyen sebanyak RM0.90 diserap sepenuhnya oleh SADA, tanpa mengenakan caj kepada pengguna.

"Caj komisyen sebanyak 90 sen bagi setiap transaksi pembayaran bil diserap (ditanggung) sepenuhnya oleh pihak SADA," jelas beliau kepada Kedahnews.com.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Dato' Abd. Ghani Zainuddin yang turut hadir di sidang media tersebut menjelaskan bahawa perkhidmatan tersebut sebenarnya adalah bagi memudahkan kira-kira 100,000 pengguna di sekitar luar bandar di negeri ini.

Jelas beliau, perkhidmatan kaunter bergerak yang disediakan pihaknya sebelum ini telah menyebabkan SADA terpaksa menanggung kos bayaran yang lebih berbanding caj bayaran di pejabat pos yang dikenakan terhadap syarikat bekalan air itu.

"Jika kita guna kaunter bergerak, bank dan sebagainya, ia akan membuatkan kita terpaksa menanggung kos yang lebih besar.

"Di seluruh negeri Kedah sekarang terdapat 52 pejabat pos dan 15 wakil pos. Jadi, ia akan memudahkan penduduk di luar bandar untuk melakukan bayaran tanpa perlu ke bandar," kata beliau kepada Kedahnews.com.

Sebelum ini, berkuat kuasa pada 1 Mac 2011, SADA telah bertindak memansuhkan perkhidmatan yang membolehkan rakyat di negeri ini membayar bil utiliti air mereka di pejabat pos dengan alasan caj bayaran yang perlu dibayar terlalu tinggi.

Datuk Adzmi Din yang ketika itu merupakan CEO SADA berkata, pemberhentian perkhidmatan itu terpaksa dibuat supaya pengguna tidak dibebankan dengan kos bayaran komisen yang dikenakan oleh pejabat pos kepada SADA.

"Isu ini tidak dapat dielakkan dan kita memutuskan hentikan khidmat di pejabat pos kerana ia merugikan SADA. Jika diteruskan juga kelak dibimbangi beban itu terpaksa dikongsi dengan pengguna.

"Untuk elak pengguna menanggung kos tambahan, kita tamatkan perkhidmatan itu," memetik kenyataannya kira-kira enam tahun lalu ketika pemansuhan perkhidmatan tersebut diumumkan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com