Pusat Bersalin Berisiko Rendah Di Alor Setar Mula Beroperasi


ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah mewujudkan Pusat Bersalin Berisiko Rendah (LRBC) sebagai satu usaha untuk mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pengarah Kesihatan Kedah  Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pusat tersebut telah mula beroperasi sejak semalam dan ianya bertempat di Hospital Alor Setar lama berdekatan Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar.

Menurutnya, ibu-ibu mengandung yang mahu elak dari kesesakan di HSB maka mereka bolehlah ke LRBC, terutama sekali bagi ibu mengandung di sekitar Kota Setar.

Tetapi mereka harus melalui penilaian terperinci oleh Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan.

"Setelah menjalani penilaian, hanya ibu-ibu yang diklasifikasikan sebagai yang berisiko rendah, berhadapan dengan komplikasi semasa dan selepas kelahiran sahaja dibenarkan bersalin di LRBC.

"Berdasarkan tatacara pengendalian ibu-ibu mengandung di klinik-klinik ibu mengandung sedia ada, ibu-ibu berisiko rendah adalah mereka yang diklasifikasikan dengan tag putih.     

"Namun, ibu-ibu dengan tag hijau dan memenuhi kriteria yang disyaratkan dalam Garis panduan LRBC turut dibenarkan bersalin di LRBC," katanya.

Ibu-ibu yang dibenarkan bersalin di LRBC harus melalui proses orientasi bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran pusat bersalin berkenaan.

Pihak keluarga dan ibu mengandung tidak perlu bimbang  kerana pusat berkenaan menempatkan pegawai perubatan berpengalaman dan jururawat terlatih.

Malah, garis panduan khusus turut disediakan bagi memastikan pengendalian kes dijalankan mengikut piawaian  ditetapkan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com