PRU14: Sokongan Kepada Pakatan Harapan Lebih Kuat Berbanding PAS Di Kedah?


PERUBAHAN landskap politik negara dengan wujudnya parti-parti serpihan baru tidak dapat dinafikan turut memberi kesan dan perubahan kepada landskap politik Kedah, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

Bermula dengan pepecahan yang berlaku di dalam PAS sehingga menyaksikan tertubuhnya Parti Amanah Negara (PAN) pimpinan bekas Naib Presidennya, Mohamad Sabu, membawa sebahagian daripada pemimpin dan ahli parti itu bersamanya.

Biarpun sudah berpuluh-puluh tahun berjuang bersama PAS sebelum ini, tindakan Mohamad atau lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu itu dilihat sebagai satu tindakan positif oleh pimpinan PAS yang menganggap ia sebagai satu "pembersihan".

Episod yang sama juga melanda parti bangsa Melayu terbesar di negara ini, UMNO, yang menyaksikan bekas Presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi "buat perangai" menentang kepimpinan parti tunjang Barisan Nasional itu.

Bersama bekas Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, Mahathir nekad bersekutu dengan musuh yang dihentam berpuluh tahun, DAP dan PKR, hanya semata-mata untuk menjatuhkan BN yang mendokongnya sebagai Perdana Menteri paling lama mentadbir dalam sejarah negara.


Menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan kemudian menjalin kerjasama dengan DAP, PAN serta PKR, tindakan tersebut mencetus pelbagai reaksi orang ramai terhadap tindakan bekas Perdana Menteri itu.

Dikatakan bahawa perubahan tersebut menyaksikan dua blok parti pembangkang, Pakatan Harapan yang dikuasai pengaruh kuat DAP, dan Gagasan Sejahtera yang dikemudi oleh PAS bakal berentap sengit untuk menewaskan BN pada PRU ke-14 nanti.

Perkembangan terkini yang dapat dilihat di negeri Kedah menyaksikan sentimen yang agak mengejutkan, khususnya bagi ahli dan penyokong PAS yang mengharap agar parti mereka dapat sekali lagi merampas pentadbiran Kerajaan Negeri daripada BN.

Meskipun PAS pernah merampas Kedah dari tangan BN pada PRU ke-12, dikatakan bahawa peratusan sokongan antara kedua blok pembangkang itu menyaksikan sokongan yang lebih menyebelahi Pakatan Harapan berbanding PAS.

Difahamkan bahawa antara faktor penyumbang kepada kedudukan tersebut adalah disebabkan oleh terdapat di kalangan ahli dan penyokong PAS di Kedah yang percaya dengan propaganda politik Pakatan Harapan, terutama PPBM.


Ahli dan penyokong PAS dikatakan "termakan" dakwaan kononnya PAS menjalin kerjasama politik dengan UMNO, salah satu "jarum" propaganda yang difahamkan dimulakan oleh DAP dan "disebarkan" oleh kepimpinan PPBM dan PAN di Kedah.

Apatah lagi Mahathir dan Mukhriz merupakan anak beranak yang berasal dari Kedah, maka lebih mudah untuk propaganda tersebut diyakini oleh rakyat di negeri ini meskipun berkali-kali dinafikan oleh kepimpinan PAS Pusat.

Selain itu, faktor ketandusan kepimpinan PAS Kedah yang berpengaruh dan berwibawa seperti Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak juga dikatakan menjadi faktor Pakatan Harapan dilihat lebih mendominasi sokongan berbanding PAS di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi yang merupakan salah seorang calon PAS yang tewas pada PRU yang lalu dilihat tidak dapat menyaingi ketokohan arwah Ustaz Azizan yang mengepalai PAS ketika menewaskan BN pada 2008.

Beliau juga dikatakan masih gagal menyatukan kepimpinan dan ahli PAS di negeri ini sehingga ramai yang beralih sokongan menyertai PAN, manakala beberapa pemimpinnya pula dilihat sebagai golongan "harumanis" yang kekal bersama parti, tapi menyokong Pakatan Harapan.


Sementara itu, pendekatan PAS Kedah yang dilihat sebagai kurang tegas menangani masalah "harumanis" serta tidak aggresif menentang pengaruh PAN dan PPBM telah menyebabkan parti tersebut diandaikan sebagai "tidak bermaya".

Ia seterusnya menyebabkan keyakinan akar umbi dan golongan atas pagar di negeri ini merasa kurang yakin kepada kemampuan PAS untuk mengatasi Pakatan Harapan pada PRU ke-14 ini, apatah lagi untuk menewaskan BN Kedah.

Walau bagaimanapun, sekiranya PAS "dikejutkan" ahli serta penyokongnya, mampu bangkit mengatasi cabaran sengit dan meyakinkan ahli serta penyokongnya dalam tempoh saki baki yang ada sebelum PRU berlangsung, tidak mustahil keadaan tersebut bakal berubah.


Namun segalanya terserah kepada kemampuan dan pendekatan strategi kepimpinan PAS untuk meneruskan perjuangan arwah Ustaz Azizan atau sekadar hanya mampu "berputih mata" melihat Pakatan Harapan menjejaskan reputasi mereka di mata rakyat Kedah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com