Program IMAN Ditambah Baik Tahun Depan


ALOR SETAR – Melihatkan pada sambutan yang menggalakkan daripada anak-anak muda negeri Kedah untuk menyertai program Internship Mahasiswa Anak Negeri (IMAN) 2.0 yang sudah pun memasuki edisi kedua, tidak mustahil perkara-perkara baharu dan penambahbaikan akan dilaksanakan tahun depan.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, beliau optimis kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap per­kara tersebut bersandarkan kepada sambutan menggalakkan diterima sepanjang dua tahun pelaksanaannya.

“Ini adalah platform yang cukup baik untuk para siswazah menimba pengalaman dan turut berpeluang ditawarkan bekerja se­cara kontrak atau tetap sebaik sahaja program itu tamat dalam tempoh enam bulan.

“Disebabkan itu, tawaran di­terima cukup menggalakkan de­ngan difahamkan lebih 1,000 permohonan diterima pada tahun ini dan tahun lepas, jadi tidak mustahil kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk membuka le­bih banyak kuota, kemungkinan kepada 75 atau 100 siswazah pada tahun depan berbanding cuma 50 tahun ini,” katanya yang dipetik dari Utusan Online.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau­ perjalanan sesi temuduga melibatkan 408 calon yang disenarai pendek untuk mengikuti program tersebut di Dewan Seri Ne­geri, Wisma Darul Aman di sini baru-baru ini.

Ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, untuk edisi kedua tahun ini, jumlah agensi dan jabatan terlibat yang bakal menempatkan calon-calon terpilih turut bertambah berbanding tahun sebelumnya.

“Bermula tahun ini, calon yang berjaya tidak hanya ditempatkan di agensi kerajaan negeri se­perti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Exco dan syarikat milik kerajaan negeri (GLC) saja, malah turut berpeluang untuk menjalani latihan di agensi atau jabatan kerajaan Persekutuan yang mempu­nyai pejabat di Kedah, antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) serta Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Keseluruhannya terdapat ki­ra-kira 50 agensi dan jabatan kerajaan terlibat. Untuk tahun depan, ada kemungkinan kerajaan negeri akan berbincang dengan syarikat-syarikat swasta pula bagi me­nempatkan jumlah peserta yang lebih ramai,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara perkara yang menarik perhatian adalah begitu ramai calon membuat permohonan untuk menyertai program tersebut ialah modul-modul latihan ditawarkan diyakini mampu menambah kemahiran-kemahiran yang tidak diajar secara formal di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

“Selain menjalani latihan secara terus dengan agensi dan jabatan kerajaan terlibat, mereka yang terpilih ini juga akan menyertai beberapa kursus dalam tempoh dua bulan, antaranya pembangunan kendiri seperti menangani tekanan di tempat kerja dan bercakap di depan orang ramai.

“Perkara sebegitu sudah tentu mendatangkan manfaat kepada mereka untuk berdepan kerjaya sebenar pada masa akan datang. Saya yakin, mereka yang mengikuti program ini akan mempunyai peluang lebih cerah untuk memasuki pasaran kerja pada masa depan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com