Polis Rampas Dadah Lebih RM450,000 Disorok Dalam Sangkar Burung


KOTA BHARU - Dadah jenis heroin dengan berat lebih 700 gram ditemui disorok di dalam sebuah sangkar burung milik seorang lelaki yang tinggal berhampiran Sungai Golok, di Kampung Lubuk Gong, Rantau Panjang, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Hassanuddin Hassan, heroin yang ditemui di dalam rumah itu dipercayai untuk pasaran Kelantan dan Terengganu dan boleh dijual kepada 75,000 orang penagih.

Dianggarkan, 215 botol lutsinar berbalut kertas surat khabar yang mengandungi heroin dan disorok di bawah bumbung sangkar burung berkenaan, bernilai lebih RM450,000.

Susulan penemuan itu, cawangan Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas menahan seorang lelaki berusia 55 tahun yang bekerja sebagai pembawa bot penambang di Sungai Golok untuk siasatan.

“Kita masih siasat penglibatan lelaki berkenaan sama ada beliau merupakan pengedar atau pembawa bekalan dadah itu,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini kelmarin.

Beliau turut mengumumkan kepada media berhubung kejayaan polis negeri itu merampas dadah jenis heroin terbesar bagi tahun ini 

Hassanuddin berkata, lelaki yang sudah berumah tangga dan mempunyai lima orang anak itu ditahan pasukan polis dalam serbuan yang dijalankan pada petang Jumaat selepas pihaknya menemui heroin berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, polis Kelantan turut mengesan sepasang suami isteri berusia 46 dan 33 tahun bagi membantu siasatan penemuan dadah bernilai lebih RM45,000, juga di Rantau Panjang, Kelantan.

Pelbagai jenis dadah, antaranya pil kuda, Eramin 5 dan Syabu, ditemui di rumah yang diduduki pasangan berkenaan pada 20 September lepas.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com