Polis Mahu Kenyataan Semua Suspek Kes Bunuh Anggota TLDM - KPN


PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mendapatkan kenyataan daripada semua suspek kes bunuh dua Laskar Kelas 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Jumaat lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga percaya terdapat kecuaian dan unsur jenayah dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, masih terlalu awal untuk pihaknya menentukan apa-apa selepas mengambil keputusan mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh.

"Pasal ini sebelum ini kita kata kematian mengejut tetapi kita percaya ada beberapa faktor yang menjadikannya sebagai kes jenayah. Kita klasifikannya di bawah Seksyen 302.

"Masih awal hendak kata lebih dari ini, siasatan sedang dijalankan. Kita perlu dapatkan kenyataan daripada semua yang terlibat dalam kes ini," katanya semasa sidang media selepas Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Negara di sini semalam.

Sabtu lepas, dua anggota TLDM meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak.

Mereka yang terlibat dalam kejadian sekitar 3.15 petang Jumaat itu ialah LK I PNK Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK I TLS Muhammad Lailatul Iman Mohd Sukri, 26.

Polis mengesahkan keputusan bedah siasat pada pukul 11.30 malam (Sabtu) mendapati kedua-dua mereka meninggal dunia disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

Sehubungan itu, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pada Isnin, dua lagi anggota TLDM ditahan bagi membantu siasatan kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan, Jumaat lepas.

Penahanan itu menjadikan lima anggota ditahan setakat ini.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com