Polis Lindungi Penjenayah Dipecat


KUALA LUMPUR - Tindakan buang kerja akan dikenakan terhadap anggota polis termasuk Ketua Polis negeri sekiranya didapati terlibat melindungi kegiatan jenayah di seluruh negara.

Ini merupakan amaran keras pertama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (gambar) bagi menunjukkan komitmennya memastikan tiada lagi anggota dan pegawainya terlibat menerima rasu­ah dengan melindu­ngi kegiatan judi, jenayah bersindiket dan gengsterisme yang telah menjatuhkan imej organisasi tersebut.

Mohamad Fuzi yang memegang jawatan itu sejak September lalu mene­gaskan, beliau tidak akan berkompromi dan akan terus mengingatkan anggotanya walaupun ada yang jemu mendengarnya.

“Saya tahu ramai yang berlakon, main wayang pun ada, malah banyak pihak ambil kesempatan terhadap saya dalam isu ini.

“Saya sudah jelaskan mengenai pendirian ini dan tidak akan bertoleransi lagi, jika saya perlu buang Ketua Polis, saya akan buang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bual Bicara: Kelestarian Keamanan Negara - Perspektif Integriti di Dewan Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar dekat Pusat Latihan Polis di sini kelmarin.

Program anjuran Institut Integriti Malaysia (Integriti) itu dihadiri Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali.

Yang hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Inte­griti, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff selaku moderator.

Pada 15 September lalu, Mohamad Fuzi memberi amaran kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ketua Polis Daerah serta Ketua Polis Negeri supaya tidak menjadi tali barut bagi melindu­ngi jenayah kegiatan gangsterisme dan perjudian

Katanya, masalah itu berlaku berleluasa di tempat-tempat tertentu malah ada juga yang berhampiran dengan ibu pejabat polis daerah serta balai polis.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com