Polis Kelantan Kesan 13 Individu Paling Dikehendaki Termasuk Pembunuh Upahan


KOTA BHARU - Polis mengesan seramai 13 individu paling dikehendaki atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk empat individu yang dipercayai terlibat dengan kes bunuh dan culik di Kuala Krai, Rantau Panjang dan Kota Bharu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Fakri Che Sulaiman berkata empat daripada 13 suspek yang dikehendaki polis ini dikesan masih bersembunyi di negeri ini serta berkemungkinan telah lari ke sempadan.

Katanya, kesemua suspek berusia 21 hingga 41 tahun dicari sejak 2014 bagi membantu siasatan dalam kes berasingan seperti curi kenderaan, mendatangkan kekerasan, senjata api dan lain-lain.

"Empat suspek utama yang dicari ialah Syukri Mohd. Abiah , 36, beralamat di Kuantan, Pahang dan Putrajaya , Saw Kim San, 31, (Tumpat), Ahmad Syazwan Ayub, 21 (Rantau Panjang) dan Mohamad Nasarudin Abdullah Hadi, 23, di Gua Musang.

"Usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan menerusi sekatan jalan raya serta Ops Cantas Khas. Ada di antara suspek yang terlibat dengan kejadian bunuh di Terengganu dan Pahang yang dipercayai dibayar oleh individu tertentu menjadi pembunuh upahan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Tambahnya, gambar 13 suspek ini akan ditampal di tempat-tempat awam agar orang ramai yang mengetahui atau mengenali individu terbabit tampil di mana-mana balik polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com