PIC Sudah Siap 77 Peratus - PM


PENGERANG  - Pembinaan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang dibangunkan Petronas di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di sini sudah mencapai 77 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, prasarana kritikal di lokasi tersebut sudah pun lengkap dan sedia untuk memulakan operasi bersepadu pada suku pertama tahun 2019.

Menurutnya, dua daripada enam kemudahan sokongan kompleks tersebut sudah memulakan proses pentauliahan merangkumi Terminal Regasifikasi LNG 2 (RGT2) dan Loji Kojana Pengerang (PCP).

“Terbinanya RGT2, kemudahan yang berkapasiti 3.5 juta tan setahun itu juga akan menyokong inisiatif liberalisasi pasaran gas di Malaysia dan menjamin kesinambungan bekalan gas di masa akan datang.

“Bagi PCP pula, loji itu bakal menghasilkan 1,220 megawatt tenaga elektrik dan membekalkan stim berterusan sebanyak 1,480 tan sejam selain membekalkan 400 megawatt tenaga elektrik untuk grid kebangsan,” katanya di sini semalam.

Ucapan beliau dibacakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut merasmikan dua fasiliti sokongan bagi PIC iaitu RGT2 dan PCP semasa lawatan beliau ke tapak projek hiliran terbesar milik Petronas itu.

Yang turut hadir, Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Najib berkata, dua komponen penting itu iaitu RGT2 dan PCP bagi menyokong operasi PIC yang merupakan satu lagi wadah yang merealisasikan impian kerajaan mewujudkan sebuah pusat pembangunan industri hiliran minyak dan gas negara.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com