Pesara Tentera Dari Sungai Petani Rayu Baiki Rumah Dimakan Anai-Anai


ALOR SETAR - Seorang pesara tentera terpaksa merayu sumbangan orang ramai bagi membaiki rumahnya yang hampir roboh akibat dimakan anai-anai dan sering ditenggelami air ketika air pasang serta hujan lebat.

Ahmad Harun, 60, dahulunya pernah bertugas di Batalion 7 Rejimen Renjer Diraja (RRD), Mentakab, Pahang pada 1976 hingga 1998 kini tinggal bersama isteri Rohilah Ahmad, 43, dan dua anak Muhamad Salman, 15, dan Muhamad Sharul, 11, di sebuah rumah usang di Kampung Sungai Emas Ujung, Kota Kuala Muda, Sungai Petani sejak lapan tahun lalu.

Menurut Harun, keadaan rumahnya yang semakin teruk akibat dimakan anai-anai dan sering ditenggelami air sejak kebelakangan ini, malah bahagian tepi rumahnya hanya mampu ditutup dengan plastik kerana tingkap sudah roboh.


Atas faktor tidak berkemampuan, Harun tidak dapat membaiki rumahnya yang daif itu walaupun menyedari rumahnya hanya menunggu untuk roboh.

“Duit pencen RM900 sebulan itulah sumber pendapatan untuk menyara kami empat beranak. Walaupun saya ada membuat kerja sambilan sebagai juruhebah (DJ) di rumah kenduri, namun hasilnya tidak tetap.

“Saya juga sukar untuk membuat kerja berat kerana menghidap kencing manis dan darah tinggi. Apa yang saya dapat hanya sekadar cukup membeli keperluan harian, sebab itu saya tidak mampu untuk membaiki rumah biarpun keadaannya semakin teruk,” katanya yang dipetik dari MyMetro.

Sebelum ini, Harun juga pernah meminta bantuan membaiki rumah dan membina sebuah tandas baru dari pelbagai pihak, namun permohonannya ditolak kerana tapak rumahnya itu tiada geran. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com