Pertahan Piala Malaysia Di Bumi Kedah, Lang Merah Dijanjikan Bonus Lebih Besar


ALOR SETAR - Skuad bola sepak kebanggaan rakyat negeri Kedah, Lang Merah, bakal menerima imbuhan bonus yang lebih besar berbanding musim lalu sekiranya berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia pada musim ini.

Namun begitu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah enggan mendedahkan jumlah sebenar ganjaran yang dijanjika kepada wira-wira Darul Aman itu yang bakal berdepan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada 4 November nanti.

"Pada tahun sebelum ini kita ada berikan bonus, dan pada tahun ini maka sudah tentu 'lebih' (besar) daripada tahun lepas," katanya, namun masih merahsiakan bonus sekiranya Lang Merah berjaya mempertahankan Piala Malaysia untuk kekal di bumi Kedah.

Skuad Lang Merah yang muncul juara Piala Malaysia menewaskan skuad Selangor pada musim lalu menerima imbuhan berupa bonus berjumlah RM25,000 bagi setiap pemain, selain lawatan ke luar negara sambil mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan di negara tersebut.

Selain itu, Ahmad Bashah turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad Lang Merah atas kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini, sekali gus berpeluang mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu.


Mengulas mengenai perlawanan akhir yang menjanjikan pertembungan epik dengan pasukan Harimau Selatan yang menjadi pilihan ramai berkenaan, Presiden KFA itu amat yakin dengan kemampuan skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusof tersebut.

Tambahan pula dengan sokongan padu dari seluruh rakyat Kedah dan para peminat setia skuad Hijau Kuning yang bakal membanjiri Stadium Shah Alam nanti, tidak mustahil Lang Merah mampu menumbangkan Harimau Selatan.

"InsyaAllah, puluhan ribu peminat setia Lang Merah akan berada di Stadium Shah Alam pada 4 November ini. Dengan sokongan padu tidak berbelas bahagi daripada penyokong pasukan Lang Merah, kita yakin kita boleh pertahankan Piala Malaysia.

"Piala itu memang sudah berada di Kedah, jadi kita harap, para pemain akan bermain dengan penuh semangat untuk pertahankan Piala Malaysia yang kita miliki sekarang," katanya kepada Kedahnews.com.

Presiden KFA itu yakin bahawa berbekalkan semangat berpasukan yang jitu, pasukan kebanggaan rakyat negeri Kedah itu dapat mempertahankan kejuaraan yang berjaya dilakarkan pada musim lalu.

"Saya yakin, kita mampu pertahankan Piala Malaysia untuk terus jadi milik Kedah pada musim ini," katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai pembayaran bonus bagi skuad Lang Merah, Setiausaha Kehormat KFA, Dato' Aminuddin Omar menjelaskan bahawa bayaran sebanyak RM10,000  kepada pemain itu akan dilunaskan sebelum perlawanan akhir berlangsung.

Menurut beliau, semua bayaran bonus yang terdahulu sebenarnya telah pun dilunaskan kepada pemain.

"Kita sudah selesaikan semua pembayaran semua bonus yang sebelum ini kepada pemain, dan bonus yang membabitkan kemenangan di peringkat separuh akhir tempohari kita akan selesaikan sebelum perlawanan akhir nanti," ujar beliau.

Ahmad Bashah sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com