Perlis Harap Bajet 2018 Utamakan Sektor Pertanian, Keusahawanan


KANGAR - Kerajaan Perlis berharap Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini, turut memberi keutamaan sewajarnya terhadap sektor pertanian dan keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali berkata ini juga sejajar langkah kerajaan Perlis menjadikan dua sektor itu sebagai agenda untuk melahirkan lebih ramai usahawan, khususnya golongan muda selain mempertingkatkan peluang ekonomi untuk rakyat negeri itu.

"Kerajaan negeri berusaha membangunkan kedua-dua sektor ini kerana Perlis kekurangan peruntukan dan tanah sedangkan ramai golongan muda yang meminati bidang keusahawanan.

"Walaupun banyak kemudahan asas memulakan perniagaan disediakan oleh kerajaan tetapi (pada masa sama) kita juga mahukan mereka yang menceburinya turut berdaya maju," katanya kepada Bernama di sini, kelmarin.

Ahmad Bakri berkata usahawan muda bawah 30 tahun yang baru menerokai bidang keusahawanan atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga sering berdepan kekangan modal. 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Perlis dengan bantuan jabatan dan agensi-agensi kerajaan berusaha menarik seberapa ramai lepasan universiti untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai punca pendapatan mereka.

Ini seperti penganjuran bersama program-program secara bersepadu supaya mereka yang berminat itu mendapat penerangan, latihan, pengurusan dan nasihat secukupnya selain dapat mengetengahkan produk dan mengenal pasti pasaran baharu.

Antara usaha itu termasuk langkah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Perlis yang membantu usahawan muda membuka perniagaan trak makanan selain sebagai usahawan tani.

"Saya percaya ramai pemegang ijazah ini berminat (dengan keusahawanan). Inilah yang mereka perlu lakukan dan tidak hanya bertumpu untuk bekerja makan gaji semata-mata," katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com