‘Perjuangan Sebenar Bermula Selepas Berakhir Pengajian’


SHAH ALAM - Penuntut institut pengajian seharusnya menghargai usaha ibu bapa dan guru masing-masing membantu memberikan pendidikan terbaik kepada mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, restu ibu bapa dan guru amat penting kerana ia membawa keberkatan hidup; sekali gus mencorak identiti dan jati diri.

"Selepas selesai majlis (konvokesyen), boleh keluar daripada dewan dan cari ibu bapa masing-masing. Kita sebagai pelajar, kena minta maaf banyak-banyak dan berterima kasih kepada mereka yang banyak membantu dan memberikan peluang kepada kita untuk belajar selama ini.

"Kemudian jumpa guru dan pensyarah masing-masing, minta mereka halalkan ilmu yang mereka beri dan apa yang kita pelajari selama ini," katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kali ke-19, di sini, semalam.

Pada majlis itu, 994 graduan menerima ijazah, diploma, diploma lanjutan dan sijil masing-masing.

Hussamuddin berkata, perjuangan sebenar seseorang itu dalam menempuh kehidupan akan bermula selepas berakhirnya sesi pengajian di institusi pengajian masing-masing.

"Jangan terlalu gembira kerana sudah tamat pengajian. Kegembiraan ini hanya sementara sahaja. Kita kena tahu dunia di luar sana sungguh mencabar dan kita perlu bersedia untuk menghadapinya.

"Majikan masa kini tidak hanya memandang graduan berdasarkan pencapaian semata-mata tetapi apa yang mereka cari dalam diri calon pekerja adalah sikap calon itu sendiri, kemampuan mengatasi masalah dan kreativiti kita sendiri," katanya.

Beliau pada masa sama turut menasihatkan pelajar supaya meningkatkan amalan membaca bagi menambah ilmu pengetahuan.

"Saya tidak dilahirkan dalam zaman teknologi, jadi saya banyak habiskan masa saya dengan membaca bahan yang boleh menambah ilmu.

"Jadikan amalan membaca sebagai satu budaya. Ia juga dituntut dalam Islam, sebab itulah dalam al-Quran dikeluarkan surah pertama iaitu Surah Iqra'," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tajuddin Abdul Rashid berkata, hari ini seramai 994 graduan akan memulakan perjalanan mereka meneroka alam pekerjaan apabila berjaya menamatkan pengajian di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Katanya, graduan yang diraikan menerusi majlis konvokesyen hari ini terdiri daripada lulusan ijazah, diploma, diploma lanjutan dan sijil.

"Graduan terdiri daripada 225 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, 243 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, 185 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, dan 311 graduan daripada Jabatan Perdagangan.

"Konvokesyen kali ini melibatkan dua program ijazah, satu diploma lanjutan, 12 program peringkat diploma dan satu program peringkat sijil," katanya.

Beliau berkata, majlis tersebut menandakan kesinambungan sejarah politeknik tersebut dalam melahirkan graduan terbaik dalam pelbagai  bidang pilihan masing-masing.

"Saya percaya ini merupakan titik permulaan bagi anda untuk menabur bakti dan berbudi kepada agama, bangsa dan negara.

"Kemampuan dan keupayaan para graduan sangat cemerlang dan telah mendapat pengiktirafan bukan sahaja di dalam negara, malah hingga ke persada dunia," katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com