Peniaga Parah Dipukul Di Pusat Hiburan Georgetown


GEORGE TOWN – Seorang peniaga parah dipukul sekumpulan lelaki di hadapan tandas sebuah pusat hiburan di Lorong Selamat, di sini dipercayai selepas dituduh meraba pelanggan wanita di situ awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis I Daerah Timur Laut, Supt. Izwan Abdul Karim berkata dalam kejadian pukul 2 pagi, lelaki berusia 25 tahun itu dipukul enam lelaki yang menuduh mangsa meraba teman wanita seorang daripada mereka.

“Mangsa ke pusat hiburan itu bersama lima rakannya dan ketika ke tandas seorang diri dia didatangi enam lelaki yang menuduhnya meraba wanita berkenaan, peniaga tersebut menafikannya namun dia terus dipukul dengan botol kaca,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan, dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan menerima 12 jahitan di kepala, dan 16 jahitan di jari telunjuk kiri selain luka serta lebam pada lengan.

Semua lelaki yang memukul mangsa melarikan diri selepas kejadian dan usaha mengesan mereka giat dijalankan, katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com