Pengusaha Bas Ekspres Sokong Cadangan Tiada Kenaikan Tol


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) menyokong hasrat Maju Holdings Sdn. Bhd. (Maju Holdings) yang bercadang mahu membeli PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) dan seterusnya berjanji tidak akan mengenakan kenaikan tol selama 20 tahun akan datang.

Setiausaha Pembawa, Wan Safri Wan Ali berkata, rancangan Maju Holdings itu akan memberi pelbagai manfaat kerana pengurangan kenaikan tol akan memberi kesan lebih kurang 10 peratus kepada kos operasi kepada ahli-ahli dan juga pengguna bas yang lain.

“Cadangan yang akan memberi kesan positif kepada pengguna jalan raya sedemikian tidak harus dipertikai oleh mana-mana pihak dan mereka sepatutnya mempertimbangkannya untuk diguna pakai.

“Tambah-tambah pula, mereka juga turut menyuarakan cadangan tentang usaha untuk menaik taraf kualiti lebuh raya dan meningkatkan faktor keselamatan khasnya dengan pemasangan lampu di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pembawa berkata demikian mengulas hasrat Maju Holdings yang mahu mengurangkan liabiliti-liabiliti kontinjen dan ingin memansuhkan pampasan kerajaan kepada PLUS.

Katanya, kekuatan strategi Maju Holdings yang meletakkan keutamaan dari segi pengendalian kos bagi keseluruhan lebuh raya itu dapat dilihat dengan jelas.

“Malahan langkah itu juga bakal memberi kesan yang baik kepada kerajaan serta rakyat yang tidak terikat dengan liabiliti lebuh raya, sekali gus membolehkan kerajaan menumpukan perhatian dan memperkukuhkan imbangan kewangan untuk usaha-usaha lain.

“Lagipun, kendalian lebuh raya sememangnya wajar dipertanggungjawabkan kepada operator yang mampu memberi nilai dan perkhidmatan terbaik kepada semua pengguna lebuh raya,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Pembawa menyifatkan tindakan pihak lain yang bercadang untuk mengikat perjanjian lebih RM20 bilion untuk menyelenggara semua lebuh raya PLUS selama 21 tahun adalah sesuatu yang kurang relevan.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com