Penduduk Mula Kembali Ke Marawi


MARAWI – Ribuan penduduk Marawi mula kembali ke kediaman masing-masing semalam selepas pertempuran selama lima bulan bagi membebaskan bandar itu daripada militan Daish berakhir.

Peperangan yang meragut lebih 1,100 nyawa dan memusnahkan sebahagian besar Marawi diisytiharkan tamat kelmarin.

Konflik yang tercetus selepas militan Daish dan pemberontak Maute menawan Marawi pada 23 Mei lalu turut menyebabkan 400,000 penduduk menjadi pelarian.

“Kami masih takut tetapi mahu melihat keadaan rumah kami,” kata seorang penduduk, Jamaliah Lomontong.

Menurutnya, rumahnya yang terletak berhampiran lokasi pertempuran utama hanya mengalami kerosakan kecil tetapi banyak barang berharga dicuri.

“Semua yang mudah dibawa seperti televisyen dan komputer riba hilang,” jelasnya.

Seorang ahli perniagaan, Gonaranko Mapandi Jnr berkata, dia berasa gembira dan sedih.

“Saya gembira kerana kami kini boleh kembali semula dan sedih dengan apa yang berlaku di bandar ini,” katanya.

Sementara itu, tentera memberitahu, bunyi tembakan dan letupan yang masih kedengaran adalah sebahagian operasi mencari saki-baki militan dan memusnahkan bom yang ditinggalkan mereka. – AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com