Penduduk Bingung Serangan Api Misteri


KOTA BHARU - Sebuah keluarga dari Kampung Bunga Emas, Penambang, di sini bingung memikirkan nasib mereka yang diganggu kehadiran api misteri.

Bahkan kehadiran api misteri yang menyala secara tiba-tiba itu telah memusnahkan rumah yang didiaminya sejak bertahun-tahun lamanya pada pertengahan bulan lepas.

Zainab Sulaiman, 80 tahun atau lebih dikenali Mok Nab ketika ditemui Astro AWANI hari ini berkata, kali terakhir rumah mereka diganggu api misteri berkenaan sekitar dua tahun lalu selepas pelbagai ikhtiar dilakukan bagi meredakan serangan tersebut.

Mok Nab berkata, kali ini api misteri itu kembali dan menyerang lebih agresif apabila memusnahkan seluruh rumah mereka, selain dikatakan sering 'mengekori' cucu perempuannya, Wan Nur Fatihah Wan Hanafi, 19 tahun, ke mana sahaja gadis itu pergi.

Menceritakan kejadian itu, dua hari sebelum rumahnya terbakar, api misteri itu muncul dengan kekerapan tiga atau empat kali sehari dirumahnya.

“Habis ikhtiar dah abis tok bomoh dukun dari seluruh Malaysia, bahkan dari luar negara pernah datang nak membantu, tak jadi, masih diganggu api misteri ini, Mok Nab dah putus asa dah” katanya ketika ditemui di tapak rumahnya yang terbakar di sini petang semalam.

Mok Nab kini sudah kehilangan rumah dua tingkatnya dek api misteri yang memusnahkan rumahnya.

Mereka kini terpaksa menumpang di rumah saudara-mara  namun setiap kali mereka sekeluarga menumpang tidur, api misteri seakan mengikuti cucunya, Wan Nur Fatihah  dan muncul secara tiba-tiba.

Jika sebelum ini, Mok Nab memperolehi pendapatan sekitar RM40 dan RM50 sehari hasil daripada menjual popia dari rumahnya.

Namun selepas kejadian itu, dia tidak dapat berbuat demikian selepas semua peralatan musnah terbakar.

Jumaat lepas, api misteri itu muncul semula di rumah adiknya Faridah Sulaiman, 75 tahun, lalu membakar beberapa barangan seperti sejadah, tilam, tuala,beg dan kepala katil.

Katanya, pelbagai ikhtiar dan rawatan Islam telah dilakukan bagi meredakan serangan tersebut namun semua nya menemui jalan buntu.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi 19 September lalu, api tersebut dikatakan muncul di bilik tengah rumah Zainab dan kejadian disaksikan oleh cucunya Wan Nur Fatihah namun dia tidak berupaya memadam api tersebut kerana marak.

Selain rumah Mok Nab turut musnah sepenuhnya ialah sebuah lagi rumah jiran.

Sebelum kejadian api misteri, terlebih dahulu mereka kehilangan wang dan pakaian seolah-olah digunting.

Misteri kemunculan api secara tiba tiba melanda keluarga Mok Nab ini pernah mendapat liputan media sebelum ini bahkan pelbagai usaha dilakukan namun api misteri ini masih menganggu keluarga berkenaan.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com