Pencuci Kereta Lakukan Seks Luar Tabii Dan Cabul Wanita


MELAKA - Seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dan mencabul seorang wanita pada bulan lalu.

Tertuduh, Abdul Rauf Singaravelu, 28, dari Parit Jawa, Johor membuat pengakuan itu sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita berusia 40 tahun antara pukul 11.30 malam hingga 1 pagi di sebuah rumah di daerah ini pada 18 September lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang sama dengan niat hendak mencabul kehormatannya pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Norma tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 22 serta 23 Februari tahun depan untuk perbicaraan.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com